Zakat Fitrah P. Pinang Kekal RM7 - Berita Semasa | mStar

Zakat Fitrah P. Pinang Kekal RM7

Diterbitkan: Selasa, 19 Julai 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) menetapkan kadar zakat fitrah di negeri ini adalah sebanyak RM7 seorang atau segantang beras (2.8kg).

Yang Dipertuanya Ellias Zakaria berkata kadar itu dikekalkan selama tiga tahun berturut-turut setelah mengambil kira kedudukan harga semasa beras ketika ini.

"Bagi memudahkan umat Islam membayar zakat fitrah, MAIPP telah melantik seramai 1,645 amil yang akan bertanggungjawab melaksanakan urusan tersebut sepanjang bulan puasa ini," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Selasa.

Katanya MAIPP mensasarkan sebanyak RM5 juta zakat fitrah bagi tahun ini berbanding RM4 juta tahun lepas.

Beliau berkata, bayaran zakat fitrah itu boleh dibuat di masjid dan surau negeri ini termasuk di kompleks beli-belah yang turut menyediakan Amil Zakat.

Ellias berkata, selain di pusat beli belah, amil yang telah dilantik oleh MAIPP juga akan ke kilang-kilang sekitar negeri ini bagi memudahkan umat Islam membayar zakat fitrah.

Katanya sempena ketibaan Ramadan ini, MAIPP juga menyalurkan bantuan kepada golongan asnaf di negeri ini bagi meringankan beban mereka.

"Bagi tujuan itu setiap isi rumah terbabit akan menerima RM300 dan hamper barangan keperluan," katanya. -BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan