Yang Di-Pertuan Agong Tiba Untuk Lawatan Rasmi Ke Korea Selatan

Diterbitkan: Selasa, 19 Julai 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SEOUL: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah tiba di sini petang Selasa bagi melakukan lawatan rasmi selama dua hari ke Korea Selatan.

Pesawat khas yang membawa pasangan diraja itu dan rombongan tiba di Pangkalan Udara Seoul pada 5.35 petang waktu tempatan (4.35 petang waktu Malaysia).

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Timbalan Menteri Luar dan Perdagangan Korea Selatan Park Suk Hwan, Duta Besar Malaysia ke Korea Selatan Datuk Ramlan Ibrahim dan Ketua Pegawai Protokol Korea Selatan Taeyong Cho.

Seri Paduka Baginda berdua diiringi oleh anakanda baginda Tengku Muhammad Mua'az dan Tengku Fatimatuz Zahra serta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mustapa Mohamed selaku Menteri Pengiring.

Sebanyak 21 das tembakan meriam dilepaskan diikuti dengan nyanyian lagu Negaraku dan Tuanku Mizan kemudian berkenan memeriksa kawalan kehormat tentera Korea yang terdiri daripada pelbagai cabang pasukan itu.

Ini merupakan lawatan negara pertama Seri Paduka Baginda ke Korea Selatan bagi membalas lawatan Presiden Lee Myung-bak pada Disember tahun lepas.

Pasangan diraja itu kemudian berangkat ke Hotel Lotte dan dijadual untuk menerima menghadap Presiden Persekutuan Muslim Korea, Abdul Rahim Shin Man Jong, Timbalan Setiausaha Agung Persekutuan Muslim Korea, Ahmad Cho Min Haeng serta Imam Besar Masjid Pusat Seoul, Abdurrahman (Lee Ju Hwa) untuk majlis sumbangan wang dan Al-Quran malam ini.

Pada malam ini juga baginda berdua dijadual berangkat menghadiri majlis santapan malam bersama kira-kira 100 rakyat dan penuntut Malaysia yang tinggal di Seoul. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan