Rang Undang-Undang Berkaitan Senjata Biologi Digubal

Diterbitkan: Selasa, 19 Julai 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan telah menggubal rang undang-undang baru berkaitan penguatkuasaan pengunaan senjata biologi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, rang undang-undang tersebut diwujudkan selepas mengambil kira perkembangan pesat industri bioteknologi di negara ini.

"Kerajaan yakin rangka kerja perundangan yang diwujudkan itu akan membantu dalam usaha menjamin satu kaedah yang selamat dalam mengendalikan bahan kimia berbahaya dan pada masa yang sama, menentukan keperluannya tidak menjejaskan penyelidikan sains kehidupan dan entiti perniagaan di negara ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada perasmian Kongres Antarabangsa Mengenai Biokeselamatan, Biojaminan dan Biopertahanan di sini pada Selasa.

Teks ucapannya dibacakan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Pada sidang media selepas itu, Ahmad Zahid berkata, kementeriannya menerajui penggubalan rang undang-undang itu bersama Jabatan Peguam Negara bagi mengekang konflik dalam penggunaan senjata biologi.

Katanya, memandangkan cadangan penggubalan rang undang-undang itu masih diperingkat perbincangan, lebih ramai tenaga pakar diperlukan untuk terlibat bagi meneliti perkara tersebut sebelum ia dikemukakan kepada Jabatan Perdana Menteri.

"Wujud kebimbangan mengenai penggunaan bahan kimia dalam senjata yang boleh diperoleh dengan kos yang murah dan mudah. Maka undang-undang perlu dilaksanakan untuk menyekat mana-mana pihak daripada menghasilkan entiti biologi untuk tujuan peperangan," jelasnya.

Ketika ditanya jangka masa yang diperlukan untuk melaksanakan rang undang-undang itu, beliau berkata ia akan diusul ke Parlimen selewat-lewatnya pada penggal kedua hujung tahun depan.

Ahmad Zahid turut menegaskan peperangan seharusnya dielakkan dan segala pertikaian perlu diselesaikan dengan baik menerusi undingan di meja bulat selain mewujudkan hubungan diplomatik.

Sementara itu, Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Sains Dan Teknologi Pertahanan (STRIDE), Datuk Dr. Abdul Ghaffar Ramli berkata, walaupun akta itu dikuatkuasakan di sesetengah negara seperti Singapura, United Kingdom dan Autralia, Malaysia akan melaksanakannya mengikut acuan tersendiri.

"Kita sudah ada Akta Kimia tetapi ia tidak merangkumi penguatkuasaan senjata biologi. Jadi kita prihatin mengenai keperluan untuk mewujudkan akta tersebut bagi mengelakkan kumpulan pengganas memperoleh entiti biologi dengan mudah di mana saja," ujarnya.

Jelas beliau, kerajaan di seluruh negara perlu memantau penggunaan teknologi di setiap makmal dari semasa ke semasa bagi emastikan kumpulan pengganas tidak mendapat manfaat daripada kemudahan sedia ada untuk melakukan kemusnahan.

Dalam perkembangan berasingan, Ahmad Zahid mempertikaikan dakwaan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim berhubung kenaikan mendadak kos Kapal Peronda Pesisir Pantai (OPV).

“Belum ada jumlah yang diberikan dan belum ada syarikat prinsipal yang dilantik secra muktamad.

“Bagaimana Zaid Ibrahim tahu lebih awal sedangkan ia belum muktamad lagi?” soal Ahmad Zahid.

Beliau memberi maklum balas berhubung dakwaan kos OPV yang dikatakan meningkat secara mendadak telah diberikan kepada syarikat tempatan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd, dengan kemungkinan firma Perancis DCNS dikaitkan bersama.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan