Kedah Tidak Pernah Tarik Balik Larangan Tutup Pusat Hiburan - Sanusi

Diterbitkan: Selasa, 19 Julai 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Kerajaan Negeri Kedah dilihat cuba berdolak dalik dalam isu penarikan semula larangan menutup pusat hiburan di negeri itu sepanjang Ramadan nanti.

Selepas penarikan semula arahan berkenaan, Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor menyalahkan media mensensasikan isu berkenaan.

Beliau menegaskan polemik yang berlaku dalam isu berkenaan hanyalah salah faham ekoran laporan media yang tidak jelas.

Sanusi berkata, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak telah bersetuju supaya operasi pusat hiburan di negeri itu dibenarkan beroperasi pada Ramadan namun ia hanya terhad kepada masyarakat bukan Islam sahaja.

“Ini kerana itu hak mereka dan kerajaan negeri juga harus memastikan umat Islam terhindar daripada perkara-perkara yang menjejaskan akidah sepanjang bulan Ramadan.

“Enakmen yang sudah diwartakan harus dikuatkuasakan untuk kepentingan semua pihak. Ini tanggungjawab sebuah kerajaan,” katanya dalam laman blognya pada Selasa.

Jelasnya, penguatkuasaan Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1997 telah diserahkan kepada pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pegawai Perlesenan Daerah berdasarkan peraturan dan cadangan yang dikemukakan itu.

Tegas Sanusi, keputusan kerajaan negeri juga tidak mempunyai kaitan dengan gesaan yang dibuat oleh DAP sebelum ini.

“Selesailah isu sensasi yang sengaja dipanaskan tanpa diketahui puncanya. Tidak timbul sama sekali pembatalan atau tarik balik kerana takutkan DAP,” katanya.

Rabu lalu, Azizan yang juga Pesuruhjaya PAS Kedah mengumumkan Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1997 dilaksanakan sepenuhnya pada Ramadan tahun ini. Menurutnya, enakmen tersebut bukannya satu dasar baru sebaliknya ia telah digubal sejak tahun 1997 ketika era pemerintahan Barisan Nasional di negeri itu.

Pengumuman itu bagaimanapun mendapat bantahan daripada rakan sekutunya DAP selain MCA dan Gerakan.

Perkara itu memaksa Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada sidang media Ahad lepas menjelaskan bahawa kerajaan negeri telah menarik semula larangan berkenaan dan larangan tersebut hanya terhad kepada orang Islam sahaja.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan