Kerajaan Kaji Cadangan Tambah Kutipan Caruman Perkeso - Subramaniam

Diterbitkan: Isnin, 18 Julai 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia sedang membuat kajian untuk meningkatkan jumlah kutipan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi mengimbangi jumlah pembayaran pampasan kepada pekerja.

Menterinya Datuk Dr S.Subramaniam berkata antara cadangan meningkatkan kutipan caruman dari majikan dan pekerja ialah dengan menambah perkhidmatan tambahan pada tahun depan.

Tahun lepas, katanya, Perkeso telah membayar pampasan berjumlah RM2 bilion kepada pekerja termasuk RM950 juta untuk pencen liat (hilang upaya) dan pencen penakar (kematian).

Dr Subramaniam berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan dan Pameran mengenai Keselamatan dan Kesihatan Perkerjaan (COSH 2011) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini, Isnin.

Katanya dalam tempoh tersebut sejumlah RM500 juta dibayar untuk kes-kes lain berkaitan dengan pekerja yang terbabit dalam kemalangan semasa waktu bekerja.

Antara sebab pembayaran pampasan tinggi tahun lepas adalah faktor jangka hayat pekerja yang menerima pencen akibat kemalangan meningkat sehingga 70 dan 75 tahun, katanya.

"Perkeso perlu membayar pampasan kepada pekerja yang menerima pencen kemalangan itu pada sepanjang hayat mereka dan ia antara faktor menyumbang kepada jumlah kutipan caruman Perkeso yang rendah tahun lepas," katanya.

Bagaimanapun, Dr Subramaniam enggan mendedahkan jumlah kutipan caruman diterima oleh Perkeso tahun lepas.

Katanya jumlah jumlah caruman Perkeso yang dikenakan terhadap majikan dan pekerja di negara ini masih rendah berbanding pekerja di negara maju yang menyumbang antara 20 hingga 30 peratus daripada pendapatan bulanan mereka.

Dalam perkembangan lain, beliau meminta majikan yang mempunyai lebih 40 pekerja supaya menubuhkan Jawatankuasa Kesihatan dan Pekerjaan bagi melindungi dan memberi kesedaran tentang langkah keselamatan di tempat kerja.

Katanya sekira majikan gagal menubuhkan jawatankuasa berkenaan maka Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) akan mengambil tindakan mahkamah di bawah Akta Keselamatan Pekerjaan.

Persidangan itu dihadiri oleh lebih 1,500 peserta dari sektor awam dan swasta. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan