60,000 PATI Dijangka Didaftar Di Sandakan

Diterbitkan: Isnin, 18 Julai 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SANDAKAN: Pejabat Imigresen di sini menyasarkan untuk mendaftarkan 60,000 pendatang asing tanpa izin (Pati) pada program pendaftaran di bawah 5P yang bermula hari ini hingga 1 Ogos.

Ketuanya Jaimin Sumpit berkata kebanyakan mereka adalah pekerja dari sektor perladangan dan pertanian di sekitar daerah ini, Kinabatangan dan Beluran.

Sabah hanya melaksanakan lima perkara daripada Program 6P dan tidak melaksanakan proses pemutihan yang telah dilaksanakan pada 1997, 1998, 2008 dan 2009.

Jaimin berkata jumlah itu adalah termasuk tanggungan Pati iaitu isteri dan anak-anak mereka yang akan mengambil peluang pendaftaran di bawah 5P itu yang membolehkan mereka tidak diambil sebarang tindakan dan pulang ke negara mereka secara sukarela.

Menurutnya kategori Pati yang boleh mendaftar dalam program berkenaan ialah warga asing yang memasuki negara ini secara tidak sah, tinggal melebihi tempoh pas, melanggar syarat-syarat pas dan juga mereka yang dikeluarkan pasport oleh kedutaan masing-masing.

"Tiada sebarang bayaran dikenakan kepada warga asing yang datang mendaftar di bawah program 5P itu yang dibuat serentak di lapan daerah lain di negeri ini," katanya ketika ditemui pada program pendaftaran itu bagi daerah Sandakan di Dewan Sibuga Batu 5 dekat sini, Isnin.

Lapan lagi pusat pendaftaran 5P itu ialah di Dewan Masyarakat Kudat, Dewan Masyarakat Menggatal (untuk Kota Kinabalu), Dewan Masyarakat Ranau, Dewan Masyarakat Keningau, Dewan Masyarakat Sipitang, Dewan Masyarakat Tawau, Dewan Masyarakat Lahad Datu dan Balai Seni Inabah, Semporna.

Jaimin berkata majikan dan mana-mana pihak yang terlibat mengaji Pati diminta mengambil peluang mendaftar pekerja mereka dalam program itu kerana tiada sebarang tindakan akan diambil terhadap mereka.

Beliau berkata ketika program 5P itu dilaksanakan, semua Pati turut didaftarkan ke dalam sistem biometrik yang akan membolehkan pihaknya mengesan jika mereka masuk semula bekerja di negeri ini.

Masa pendaftaran program itu bermula 8 pagi hingga 5 petang pada Isnin hingga Jumaat, manakala Sabtu dan Ahad, waktu pendaftaran dibuka bermula 8 pagi hingga 1 petang.

Di TAWAU, program pendaftaran pekerja asing di Rumah Persekutuan dekat sini mendapat sambutan menggalakkan daripada majikan dan pekerja.

Sehingga jam 11 pagi tadi, seramai 500 pekerja warganegara asing sudah mendaftarkan diri dengan agensi kerajaan berkenaan.

Ada antara pekerja warga asing yang datang mendaftar sudah bekerja secara sah di negara ini melebihi 20 puluh tahun dan masih bersemangat meneruskan kerja mereka selagi khidmat mereka diperlukan majikan.

Seorang pekerja yang berasal dari Palopo, Sulawesi Selatan, Indonesia, Kaslim Tasse, 47, berkata dia telah bekerja di Ladang Table sejak 27 tahun lalu dan ketika itu dia masih bujang dan kini mempunyai tiga orang anak yang berusia antara tujuh hingga 20 tahun.

Nama asal ladang tempat Kaslim bekerja ini ialah Borneo Abaca Limited (BAL), salah satu ladang tertua di Tawau. Suatu ketika dahulu, ladang ini dimiliki Golden Hope dan kini oleh Sime Darby.

"Sejak saya mula bekerja di ladang itu hingga ke hari ini, saya sudah bekerja di bawah tiga majikan. Kami semua dilayan dengan baik tanpa sebarang masalah," katanya.

Menurut Kaslim, sejak menjejakkan kaki ke Tawau, beliau tidak pernah kembali ke kampung halamannya kerana seronok bekerja di sini sehingga dianggapnya Tawau sebagai 'lombong emas'.

Seorang lagi rakyat Indonesia yang berasal dari Nunukan, Mohd Arif Bacho, 48, yang bekerja di Ladang Bombalai juga milik Sime Darby berkata dia sungguh seronok bekerja di ladang berkenaan kerana segala prasarana disediakan majikan.

Mohd Arif yang telah bekerja di situ sejak 18 tahun lalu berkata dia akan tetap bekerja di situ selagi majikannya memerlukan tenaganya.

"Saya merasa bersyukur, kerana pihak berkuasa Malaysia memberi peluang kepada saya untuk menyambung semula pasport saya yang telah tamat tempohnya sejak tiga bulan lalu," katanya.

Pendaftaran yang akan berakhir pada 2 Ogos ini mensasarkan rakyat asing yang masuk ke negara ini secara haram (PATI), tinggal melebihi tempoh, melanggar syarat-syarat pasport dan rakyat asing yang diberi pasport oleh kedutaan masing-masing.-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan