Himpunan Haram 9 Julai Persiapan Awal Pembangkang Salahkan Kerajaan

Diterbitkan: Ahad, 17 Julai 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Perhimpunan haram 9 Julai lepas boleh dianggap sebagai persiapan awal pembangkang untuk menyalahkan kerajaan apabila mereka tewas dalam pilihan raya umum akan datang, kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Anggota Majlis Tertinggi Umno itu berkata segala kepayahan, yang kononnya ditimbulkan kerajaan semasa perhimpunan haram itu, bakal dijadikan plot membina jalan cerita untuk dihadapkan kepada penyokong bagi mengaburi faktor sebenar kekalahan mereka nanti.

"Pembangkang merasakan pada pilihan raya umum akan datang mereka akan kalah dengan kekalahan lebih besar yang akhirnya mengecewakan ramai pihak yang begitu mengharapkan kerajaan ketika ini runtuh.

"Apabila kalah mereka tak ada jawapan kepada penyokong. Maka cara yang paling berkesan ialah menyalahkan pengadil dari awal, yang dalam konteks ini ialah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), yang dulunya hanya akan diserang selepas pilihan raya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung ke-12 Pertubuhan Alumni Kelab-Kelab Umno Luar Negara di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Ahad.

Ahmad Shabery berkata atas faktor itu, mereka menggerakkan perhimpunan haram itu sebagai bahan cerita untuk dijaja di seluruh dunia bahawa kekalahan mereka kelak disebabkan perkara yang mereka dakwa iaitu pilihan raya di Malaysia adalah tidak betul.

Beliau berkata perkara itu bertambah jelas apabila 'babak lama' seperti Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim tercedera kembali ditonjolkan semata-mata untuk menarik kembali perhatian rakyat yang kini mula tertawan dengan pelbagai pendekatan baru dibuat kerajaan Barisan Nasional (BN).

Ahmad Shabery berkata sungguhpun sistem pilihan raya diakui ada kelemahannya tetapi isu itu tidak perlu di bawa ke jalanan kerana pembangkang yang mempunyai ramai Anggota Parlimen boleh mengemukakan usul untuk dibahaskan di Parlimen.

"Dalam konteks sekarang kita tidak pernah mendengar pemimpin pembangkang mengusulkan perkara itu di Parlimen, ertinya mereka belum habiskan cara damai dan aman mengikut saluran yang betul. Bahkan mereka juga tidak pernah sampai ke peringkat itu sebaliknya memilih cara tidak betul.

"Jadi, adalah jelas apa yang dilakukan pembangkang hanyalah semata-mata mahu membina jalan cerita bahawa kekalahan mereka kelak adalah disebabkan sistem pilihan raya yang tidak telus," katanya.- BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan