Lebih 7,000 Pekerja Asing Telah Mendaftar Guna Sistem Biometrik

Diterbitkan: Jumaat, 15 Julai 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Lebih 7,000 pekerja asing telah mendaftar di bawah Program Pendaftaran Biometrik Pekerja Asing Yang Sah, sejak program itu dilaksanakan tiga hari lepas.

Timbalan Ketua Setiausaha (Kanan) Sektor Dasar Imigresen dan Pendaftaran Negara Kementerian Dalam Negeri, Datuk Alwi Ibrahim berkata jumlah itu dijangka meningkat sehingga tarikh akhir program berkenaan pada 31 Julai ini.

"Sambutan amat menggalakkan. Ramai majikan membawa pekerja mereka mendaftar di pejabat-pejabat imigresen di seluruh negara dan kita sudah mengatur untuk membuat urusan itu (pendaftaran) di lapangan," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Mengikut rekod Jabatan Imigresen, beliau berkata terdapat 1.8 juta pekerja asing yang sah bekerja di negara ini.

Beliau berkata bagi mempermudah dan mempercepatkan proses pendaftaran itu, kaunter pendaftaran dibuka setiap hari termasuk Sabtu dan Ahad di semua 37 pejabat imigresen di seluruh negara. "Majikan juga boleh membuat temujanji jika pekerja mereka ramai dan pegawai-pegawai imigresen bersedia untuk pergi ke lapangan (tempat bekerja) bagi urusan mengambil data biometrik ini," katanya.

Alwi berkata waktu operasi pendaftaran sepanjang tempoh dua minggu itu bermula dari pukul 8 pagi sehingga 10 malam.

Bagaimanapun tempoh itu akan dilanjutkan sehingga selesai proses pendaftaran pada hari tersebut.

Katanya tiada tindakan atau hukuman yang akan diambil serta tiada bayaran dikenakan bagi mereka yang mendaftar dalam tempoh pendaftaran yang ditetapkan selama dua minggu itu.

Bagi majikan yang menggaji pembantu rumah asing, beliau berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan untuk melanjutkan tempoh pendaftaran bagi tujuan itu atau mereka boleh berbuat demikian ketika memperbaharui permit pekerja masing-masing.

Bagi Program Penyelesaian Menyeluruh Pendatang Asing Tanpa Izin atau Program 6P yang akan dilaksanakan mulai 1 Ogos ini, katanya majikan pekerja atau pekerja itu sendiri boleh mendaftar di pejabat imigresen atau melalui syarikat-syarikat pengurus yang dilantik untuk proses berkenaan.

Beliau berkata tiada bayaran dikenakan untuk proses pendaftaran jika dibuat di pejabat-pejabat Imigresen dan jika dibuat dengan syarikat pengurus, akan dikenakan RM35 manakala bagi program pemutihan pula sebanyak RM300. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan