Pemuda Umno Wujud Tabung Khas Bebaskan Nazarudin - Berita Semasa | mStar

Pemuda Umno Wujud Tabung Khas Bebaskan Nazarudin

Diterbitkan: Khamis, 14 Julai 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno akan mewujudkan tabung khas untuk mengutip dana bagi membantu membebaskan seorang rakyat Malaysia, Mohd Nazarudin Saidin, 38, yang diculik oleh kumpulan pengganas Abu Sayaaf, di Pulau Jolo, selatan Filipina.

Pengerusinya, Datuk Muhammad Khairun Aseh berkata, tabung tersebut akan dibuat dalam tempoh terdekat selepas pihaknya mengadakan perbincangan dengan keluarga mangsa.

“Kita memang bercadang untuk wujudkan tabung khas untuk bantu bebaskan Nazaruddin. Insya-Allah dalam tempoh satu atau dua hari ini. Apa pun, pihak kami perlu adakan perbincangan dengan keluarga Nazaruddin terlebih dahulu,” katanya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Khamis.

Beliau turut berharap orang ramai akan sudi menghulurkan derma bagi membantu membebaskan Nazaruddin kerana tempoh yang diberikan oleh penculik semakin suntuk.

“Kita harap rakyat Malaysia yang prihatin akan sudi menghulurkan derma untuk bantu keluarga Nazaruddin kerana tempoh masa yang diberikan semakin suntuk,” katanya.

Pada Selasa, akhbar melaporkan kumpulan penculik Nazarudin meminta wang tebusan sebanyak RM60,000 dalam tempoh seminggu atau pintu rundingan untuk menyelamatkan bapa kepada enam cahaya mata itu akan ditutup sepenuhnya.

Tuntutan tersebut dimaklumkan oleh seorang anggota kumpulan penculik dalam satu panggilan telefon kepada ibu mangsa, Siti Hamdah Ahmad, 60, pada pukul 5 petang Isnin lalu.

Sementara itu, adik kepada Nazaruddin, Mohamad Luqman Saidin berkata pihaknya menyambut baik cadangan Pemuda Umno untuk mewujudkan tabung khas untuk mengumpulkan dana bagi menyelematkan abangnya itu.

“Ini memang satu berita baik dan pihak keluarga menyambut baik usaha ini. Kita menunggu kehadiran mereka untuk adakan perbincangan lanjut mengenainya,” katanya.

Pada 8 Mei lalu, Nazarudin diculik oleh kumpulan bersenjata Abu Sayyaf ketika berada di Indanan, Jolo selepas merancang untuk mendapatkan bekalan cicak tokek daripada seorang lelaki yang dikenali sebagai Ghafar Akkirulla.

Bagaimanapun, Ghafar yang juga warga Malaysia dibebaskan dan sempat membuat laporan polis berhubung penculikan Nazaruddin kepada pihak berkuasa.

Susulan daripada kejadian itu, kumpulan penculik berkenaan menuntut wang tebusan sebanyak 80 juta peso (RM5.6 juta) bagi membebaskan Nazaruddin dengan wang pendahuluan yang perlu dibayar sebanyak lima juta peso (RM350,000).

   

iklan

Video

Selasa, 17 Julai 2018 6:18 PM

'Penyamun terbang' maut dalam kereta curi

Khamis, 12 Julai 2018 1:05 PM

Lempang pelajar ikut suka hati

Selasa, 10 Julai 2018 6:39 PM

Nak 'gugur jantung' tengok pakcik ini memandu

Selasa, 10 Julai 2018 3:06 PM

Pengasuh pijak, hempas anak jagaan

Isnin, 9 Julai 2018 5:30 PM

Ragam si meow & bola!

Jumaat, 6 Julai 2018 5:39 PM

Tak sanggup tengok mayat mangsa kemalangan

Jumaat, 6 Julai 2018 12:48 PM

Durian buah untuk orang kaya?

Kolumnis

iklan

Iklan