Najib & Cameron Adakan Perbincangan Di No 10 Downing Street

Diterbitkan: Khamis, 14 Julai 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

LONDON: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatnya dari Britain, David Cameron mengadakan perbincangan di No.10 Downing Street di sini pada Khamis, dalam usaha kedua-dua negara untuk meningkatkan hubungan dua hala ke tahap lebih tinggi.

Pertemuan itu diadakan sempena lawatan rasmi empat hari Najib ke United Kingdom (UK) atas jemputan Cameron.

Kedua-dua pemimpin mengadakan perbincangan sejurus selepas ketibaan Najib di pejabat Perdana Menteri Britain itu yang terletak di tengah kota London dalam cuaca yang agak dingin walaupun kini adalah musim panas.

Najib disambut penuh mesra oleh Cameron, dengan kedua-dua pemimpin bersalaman sambil memberikan gaya istimewa untuk dirakamkan oleh jurufoto dan jurukamera sebelum masuk ke pejabat perdana menteri untuk berbual dan diikuti dengan majlis makan tengah hari yang dihoskan oleh Cameron.

Terdahulu, ketibaan Najib di Pejabat Hal Ehwal Luar dan Komanwel UK disambut oleh Setiausaha Negara bagi Hal Ehwal Luar dan Komanwel UK, William Hague, sebelum berjalan pada jarak yang dekat ke No. 10 Downing Street.

Sebelum itu, Najib dengan diiringi isterinya Datin Seri Rosmah Mansor menghadap Ratu Elizabeth II di Istana Buckingham, kediaman rasmi keluarga diraja British di London.

Pada majlis perbincangan antara kedua-dua pemimpin, Malaysia dan UK turut memeterai memorandum persefahaman (MoU) yang berobjektif membanteras jenayah merentas sempadan.

Malaysia diwakili Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein manakala UK diwakili Setiausaha Kementerian Luarnya, Teresa May.

Perdana Menteri turut menghadiri majlis jamuan petang yang dihoskan Hague.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan