Industri Penyiaran Perlu Utamakan Pengisian Membina Negara Bangsa:Rais

Diterbitkan: Khamis, 14 Julai 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Industri penyiaran sama ada swasta mahupun kerajaan perlu menitikberatkan program yang mengandungi pengisian yang dapat membantu kerajaan membina negara bangsa, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata ia penting agar badan penyiaran dapat mempengaruhi orang ramai menerusi program yang mencerminkan budaya dan identiti negara.

"Sebagai (badan) penyiar, RTM ataupun Media Prima ataupun Astro dan stesen-stesen lain mempunyai komitmen untuk membantu negara dalam beberapa aspek pengisian (program) itu sendiri yang mana kandungannya kita perlu ambil berat," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Santai Makan Tengah Hari bersama menteri di sini Khamis.

Majlis anjuran Media Prima Bhd itu turut dihadiri oleh kedua-dua timbalan menteri iaitu Datuk Maglin Dennis D'Cruz dan Datuk Joseph Salang, Ketua Setiausaha kementerian Datuk Seri Kamaruddin Siaraf, Pengerusi Media Prima Berhad Datuk Johan Jaafar, para pegawai kanan dan ketua-ketua eksekutif agensi di bawah kementerian.

Rais berkata selain kandungan program yang kreatif, pengisian mengenai negara bangsa juga akan dapat menggalakkan silaturrahim dan pengukuhan bangsa Malaysia itu sendiri.

"Misalnya penggunaan bahasa kebangsaan, kita perlu memperbanyakkan mesej untuk komuniti dari segi membina negara bangsa selain mengadakan kandungan-kandungan kreatif dalam radio dan televisyen masing-masing," katanya.

Beliau berkata walaupun industri penyiaran kini mengadapi cabaran dalam bersaing dengan dunia siber, adalah diharapkan nilai baru ini iaitu pengisian negara bangsa dapat mengukuhkan sistem penyiaran itu di samping mendapat keuntungan menerusi perniagaan mereka sendiri.

Terdahulu, ketika berucap Rais berkata walaupun stesen penyiaran swasta dan kerajaan mempunyai perbezaan daripada segi persaingan perniagaan tetapi mereka mempunyai peranan yang sama dalam memberikan isi kandungan program yang membela negara dan bangsa Malaysia.

"Jika kita melihat persaingan stesen radio swasta seperti Hotfm dan Flyfm melonjak naik, tetapi RTM juga saya nak pesan kita mesti berlumba supaya ada stesen radio kerajaan yang boleh mempengaruhi cara kita (orang ramai) berfikir dan jalani kehidupan seharian.

"Bukan sahaja stesen televisyen seperti TV3, TV1 dan Astro yang boleh mempengaruhi kehidupan kita tetapi radio juga mempunyai pengikutnya yang ramai," katanya.- BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan