Syarikat UK Diseru Teroka Peluang Di Malaysia

Diterbitkan: Rabu, 13 Julai 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

LONDON: Datuk Seri Najib Tun Razak pada Rabu menjemput para pelabur British untuk meneroka peluang pelaburan di Malaysia sambil menyatakan keazamannya bagi memastikan Malaysia kekal menjadi destinasi yang menguntungkan bagi syarikat asing.

Perdana Menteri berkata Malaysia terus mengalu-alukan pelaburan United Kingdom (UK) yang lebih meluas, khususnya di dalam sektor berteknologi tinggi dan aktiviti bernilai tambah dan berasaskan pengetahuan.

Beliau membayangkan peningkatan peluang di bawah Model Baru Ekonomi (MBE), Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Rancangan Malaysia Ke-sepuluh (RKM10).

Banyak projek yang boleh dikongsi oleh syarikat UK dengan syarikat Malaysia bagi meneroka pelbagai bidang seperti perkhidmatan perniagaan, pendidikan, penjagaan kesihatan, elektrik dan elektronik, teknologi hijau dan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), katanya.

Beliau berkata demikian pada mesyuarat meja bulat dengan para peneraju industri di sini semasa memulakan lawatan rasmi ke UK.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata Malaysia yang mempunyai persekitaran perniagaan yang cergas dan struktur industri dan infrastruktur yang sudah maju, akan terus dipertingkatkan bagi memastikan bahawa ia kekal menjadi lokasi kompetitif bagi para pelabur asing.

"Hubungan dua hala kedua-dua negara perlu terus memberi fokus pada usaha memacu dan memberikan insentif terhadap perkongsian sektor swasta Malaysia-UK serta mengukuhkan hubungan kukuh sedia ada antara kedua-dua negara," katanya

Najib, yang sedang melakukan lawatan rasmi pertamanya ke UK atas jemputan Perdana Menteri British David Cameron, tiba di sini pada Selasa selepas memuktamadkan lawatannya ke Turkmenistan.

Beliau juga telah mengemaskinikan peserta mesyuarat di ibu negara British itu mengenai kedudukan ekonomi semasa Malaysia, yang kini mengalami proses transformasi dari ekonomi berpendapatan sederhana kepada ekonomi berpendapatan tinggi, sebagai satu destinasi pelaburan.

"Malaysia terus menjadi destinasi pelaburan keutamaan bagi para pelabur asing. Pada 2010, aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia meningkat lebih 540 peratus kepada US$9 bilion, berbanding dengan US$1.4 bilion pada 2009," katanya. Pada akhir 2010, Perdana Menteri berkata UK adalah sumber FDI ke-11 terbesar di Malaysia, dengan pelaburan bernilai AS$1.7 bilion (RM5.1 bilion) dengan 394 projek perkilangan.

"Syarikat-syarikat itu terlibat di dalam kimia dan produk kimia, produk petroleum, petrokimia, produk elektrik dan elektronik serta produk getah dan plastik," katanya. Najib berkata perdagangan Malaysia dengan UK berjumlah AS$4.1 bilion (RM12.3 bilion) pada tahun lepas dengan eksport ke UK berjumlah AS$2.3 bilion (RM6.9 bilion) yang merupakan peningkatan 1.6 peratus berbanding dengan 2009.

Ia menyaksikan UK menjadi rakan perdagangan ke-18 terbesar Malaysia. Produk Malaysia yang dieksport ke UK termasuk produk elektrik dan elektronik, produk kayu, peralatan pengangkutan, produk getah, tekstil dan pakaian dan peralatan serta alat ganti kejenteraan.

Import Malaysia dari UK pada tahun lepas bernilai AS$1.8 bilion (RM5.4 bilion), yang merupakan kemerosotan 2.7 peratus berbanding 2009.

Import terdiri daripada barangan yang dikilang seperti produk elektrik dan elektronik, jentera, peralatan dan alat ganti, kimia dan produk kimia, peralatan pengangkutan, produk besi dan keluli, pengilangan logam dan peralatan optik dan sainstifik.

Najib memberitahu para peneraju perniagaan itu bahawa pada 2010, Malaysia mencapai pertumbuhan kukuh 7.2 peratus selepas menguncup 1.7 peratus pada 2009.

"Ini merupakan pertumbuhan tertinggi yang dicapai sejak 2000, dengan kebanyakan sektor mengembang dan eksport meningkat, katanya. Perdana Menteri berkata ekonomi Malaysia dijangka berkembang antara 5.0 dan 6.0 peratus tahun ini.

"Kami optimis bahawa ekonomi Malaysia akan kekal kukuh berikutan kedudukannya yang sihat," kata Najib. Katanya ringgit telah mengukuh kira-kira 12 peratus sejak 2010, dan harga komoditi yang tinggi telah dilegakan oleh kekukuhan permintaan domestik.

"Kami juga berkeyakinan peningkatan aliran masuk FDI berterusan berkembang selari dengan perkembangan dengan pengukuhan pelaburan domestik," katanya.

Najib berkata syarikat-syarikat Malaysia telah melabur di seberang laut sejak beberapa tahun lepas, dengan mengambil kesempatan dari pelbagai peluang perniagaan, yang termasuk kejayaan mendapatkan akses dalam ekonomi baru muncul dan maju.

Sehingga ini, pelaburan Malaysia sebanyak AS$900 juta (RM2.7 bilion) telah mengalir ke UK, katanya.

Pelaburan itu adalah di dalam aktiviti kewangan, perbankan dan insurans, utiliti, perlombongan dan kuari serta perdagangan pemborongan dan peruncitan.

Katanya wujud potensi yang besar bagi dijalin kerjasama antara syarikat Malaysia dan UK bagi mendapatkan peluang pelaburan di dalam sektor pertumbuhan baharu.

"Saya berkeyakinan bahawa kekukuhan syarikat UK di dalam sektor seperti pendidikan, penjagaan kesihatan, farmaseutikal, bioteknologi dan industri yang dipacu pengetahuan memberikan mereka kelebihan merebut peluang ini di Malaysia," katanya.

Tambahan pula, asas kukuh Malaysia di dalam produk dan perkhidmatan halal serta kewangan Islam menawarkan peluang perkongsian yang menerujakan dengan syarikat UK, katanya. - BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 17 Ogos 2017 3:02 PM

Seksi? Urusan Saya Dengan Tuhan - Zizi Kirana

Khamis, 17 Ogos 2017 12:30 PM

Erma Reda, Jatuh Talak Satu

Khamis, 17 Ogos 2017 9:00 AM

Wak Doyok Kini Bintang Filem

Rabu, 16 Ogos 2017 3:59 PM

Bahaya Tu Abang Oii...

Rabu, 16 Ogos 2017 12:30 PM

“Senyum Je Pada Haters” - Farisha Irish

Selasa, 15 Ogos 2017 3:28 PM

Raysha Rizrose Pemalu, Bukan Sombong!

Selasa, 15 Ogos 2017 11:59 AM

Keluarga 'Control' Hidup Neera Azizi?

Selasa, 15 Ogos 2017 9:00 AM

Abang Long Fadil 2 Telan Belanja RM 3.2 Juta

Kolumnis

iklan

Iklan