Najib Lancar Loji Rawatan Gas Dan Terminal Gas Darat Kiyanly

Diterbitkan: Rabu, 13 Julai 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

TURKMENBASY, Turkmenistan: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersama-sama Presiden Turkmenistan Gurbanguly Berdimuhammedov melancarkan Loji Rawatan Gas dan Terminal Gas Darat Kiyanly di sini Selasa.

Najib yang menyifatkan acara itu sebagai "hari yang amat penting" dalam sejarah hubungan dua hala antara Malaysia dan Turkmenistan, berkata projek itu merupakan satu pencapaian hebat yang menandakan kejayaan penyiapan usaha pertama yang diterajui Malaysia dalam pembangunan gas luar pesisir utama di Turkmenistan.

"Kami berbangga dengan kepercayaan yang ditunjukkan oleh Kerajaan Turkmenistan terhadap syarikat minyak dan gas negara, Petronas, dalam membolehkan mereka melaksanakan pembangunan penting ini," kata beliau dalam ucapan di tapak pelancaran berhampiran Laut Caspian, kira-kira 600 kilometer dari ibu negara Turkmenistan, Ashgabat.

Perdana Menteri juga gembira dengan Petronas yang dapat mengambil bahagian dalam merealisasikan potensi kekayaan semula jadi Turkmenistan.

"Konsisten dengan misinya untuk menyumbang kepada kesejahteraan negara tuan rumah dan rakyat di mana ia beroperasi, Petronas juga dapat membantu dalam menyediakan asas kemakmuran jangka panjang dalam industri minyak dan gas Turkmenistan melangkaui daripada hanya merealisasi nilai segera daripada kekayaan semula jadi negara itu," kata Najib.

Beliau berkata Petronas terus menunjukkan komitmennya untuk menjadi rakan kongsi jangka panjang dalam pembangunan sosio-ekonomi Turkmenistan dengan menyediakan peluang seperti pertukaran berkaitan kerja, latihan kemahiran berasaskan teknologi, pembinaan kemampuan profesional serta program penajaan pendidikan untuk warga Turkmenistan.

Najib, yang mengadakan lawatan rasmi selama dua hari ke Turkmenistan sejak Isnin berkata acara bersejarah hari ini merupakan peringatan mengenai usaha yang dilalui kedua-dua negara selepas rundingan pertama kali dibuat antara Kerajaan Turkmenistan dan Petronas yang berakhir dengan penganugerahan kontrak Perkongsian Pengeluaran luar Pesisir pertama Turkmenistan pada Julai 1996.

"Sejak itu, suka saya nyatakan bahawa Petronas telah mencapai beberapa kejayaan penting dalam operasinya di sini, termasuk cari gali di telaga penerokaan luar pesisir pertama Turkmenistan, Magtymguly-1X, di Timur Livanov.

"Mereka juga yang pertama menggunakan kaedah Ujian Telaga Lanjutan luar pesisir di Medan Diyarbekirm di Caspian, satu konsep baru inovatif yang membawa kepada kejayaan mengeluarkan 40,000 tong minyak mentah manakala Unit Pengeluaran Luar Pesisir Mobile dan Storan Apungan serta kemudahan Muatan di Caspian siap dalam masa 17 bulan.

Pelancaran Loji Rawatan Gas dan Terminal Gas Darat Kiyanly -- dua proses dengan gabungan kapasiti pengeluaran sehingga 500 juta kaki padu standard sehari dan 53 kilometer saluran yang menghubungkan Terminal ke saluran paip eksport Central Asia Centre 3 -- akan terus meningkatkan operasi bersepadu ini.

Perdana Menteri berkata beliau gembira untuk menyatakan yang Perjanjian Jualan Gas yang ditandatangani oleh Kerajaan Turkmenistan, Petronas dan Turkmengaz semalam akan memudahkan pengkomersialan jumlah pengeluaran gas dari kemudahan ini.

Beliau berkata Petronas telah memulakan pelbagai usaha kerjasama dalam pelbagai bidang antara kedua-dua negara termasuk perdagangan dan ekonomi, tenaga dan tanggungjawab sosial serta pendidikan dan pengukuhan kapasiti.

"Contohnya, setiap tahun, Petronas menyediakan penajaan untuk Pameran dan Persidangan Minyak dan Gas Anarabangsa Turkmenistan dan acara serupa untuk menyokong kerjasama antara kerajaan dan industri serta menggalakkan perangkaian luaran dalam usaha pertumbuhan ekonomi."

Sementara itu, Najib berkata Petronas bekerja rapat dengan Kerajaan Turkmenistan bagi menggalakkan kecemerlangan akademik dengan memupuk bakat muda yang akan menjadi harapan negara di masa depan.

Lebih US$3.7 juta telah dilaburkan dalam program tajaan akademiknya sejak ia dilancarkan pada tahun 1998, sekali gus menyediakan peluang kepada 110 pelajar Turkmen menjalani program ijazah teknikal dalam bidang elektrik dan elektronik, Kimia, Mekanikal, Kejuruteraan Sivil dan Petroleum, serta Teknologi Maklumat di Universiti Teknologi Petronas, Malaysia.

Sejak 2005, Petronas telah melabur US$10.5 juta dalam Program Latihan Teknikalnya, memberi manfaat kepada 229 warga Turkmen dalam pelbagai urusan berkaitan perdagangan.

"Saya gembira untuk maklumkan yang setakat hari ini sementara sebahagian besar telah mendapat pekerjaan dalam industri minyak dan gas, 18 yang sudah tamat belajar telah dilantik sebagai Eksekutif Teknikal dan 71 yang lain diambil bekerja sebagai juruteknik.

"Pada masa ini, kesemuanya terlibat dalam aktiviti luar pesisir dan darat Blok 1, termasuk memulakan loji yang saya lancarkan hari ini. Program Penempatan Petronas juga berusaha mempercepatkan pembangunan keupayaan pekerja Turkmen dengan sasaran 80 peatus kandungan tempatan menjelang 2015," katanya.

Mengulas mengenai keperluan komuniti, Najib berkata Petronas kerap menaja beberapa program Tanggungjawab Sosial Korporat, terutamanya dalam bidang pendidikan di mana ia telah menyokong Sekolah Berasrama Negara Turkmenistan untuk kanak-kanak yang cacat pendengaran di Ashgabat, membeli buku untuk perpustakaan kanak-kanak di 64 sekolah tempatan dan menyediakan bantuan kepada lebih 50 institusi termasuk rumah anak yatim dan kebajikan.

Turut hadir pada majlis pelancaran itu ialah Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop yang turut mengiringi Najib semasa lawatan itu dan Presiden dan ketua pegawai eksekutif Petronas, Datuk Shamsul Azhar Abbas.

Sementara itu pada sidang media di lapangan terbang Turkmenbasy, Najib berkata pembinaan loji berkenaan melibatkan pelaburan oleh Petronas sebanyak AS$5.2 bilion.

Mengenai hasil lawatannya, beliau berkata presiden dan kerajaan Turkmenistan telah memberikan layanan yang amat mesra dan mereka melihat Malaysia sebagai rakan kongsi jangka panjang.

Perdana Menteri berkata Presiden Berdimuhammedov turut menyatakan hasratnya untuk melawat Malaysia dan tarikhnya akan ditentukan tidak lama lagi.

Najib yang mengakhiri lawatan dua harinya ke Turkmenistan Selasa kemudian berlepas bersama isterinya Datin Seri Rosmah Mansor ke London untuk lawatan rasmi ke United Kingdom bermula Rabu hingga 15 Julai. - BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Kolumnis

iklan

Iklan