Ambiga: Tiada Perhimpunan Lain Buat Masa ini

Diterbitkan: Selasa, 12 Julai 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) tidak bercadang untuk mengadakan perhimpunan dalam masa terdekat selepas perarakan pada 9 Julai lalu bagi memperjuangkan lapan tuntutan Bersih 2.0.

Pengerusinya, Datuk S. Ambiga berkata, pihaknya tidak menganjurkan perhimpunan sewenang-wenangnya.

"Anda tidak membuat perhimpunan sesuka hati. Apabila anda melakukan perarakan, ia mestilah atas sebab-sebab yang konkrit. Saya rasa mesej rakyat amat jelas. Ia adalah suatu persoalan sama ada mesej mereka ingin didengari.

"Sekiranya mereka dengar, adakah mereka benar-benar memahaminya?" katanya pada sidang akhbar di sini, Selasa.

Pada Sabtu lalu, Ambiga dan beberapa pemimpin pertubuhan bukan kerajaan dan parti pembangkang yang terlibat dalam perhimpunan haram di ibu negara ditahan polis.

Mereka dibebaskan pada hari yang sama selepas diambil keterangan.

Sementara itu, Ambiga menegaskan, beliau tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-13 kerana tidak tahan dengan asam-garam politik tanah air.

"Sudah pasti tidak, saya tidak ada nafsu dengan politik di negara ini," tegasnya.

Dalam pada itu, Ambiga memberitahu, Bersih 2.0 akan terus memperjuangkan agenda reformasi pilihan raya.

"Sehingga reformasi pilihan raya tercapai, kami meminta rakyat memakai apa-apa sahaja yang berwarna kuning pada Satu bagi mempamerkan sokongan berterusan," katanya.

Sambil mengakui agenda asal Bersih ialah reformasi pilihan raya, Ambiga berkata, agenda mereka sekarang menjangkau lebih daripada itu dengan memperjuangkan isu-isu seperti antara lain demokrasi, penyalahgunaan kuasa dan mengatasi rasa takut ditakut-takutkan.

Beliau percaya dan optimis bahawa matlamat tersebut boleh dicapai sekiranya suara Bersih 2.0 didengari.

"Daripada menghentam Bersih, baik mereka mula mendengar rintihan rakyat. Ini kerana Bersih adalah berkenaan dengan rakyat. Mereka inginkan perubahan," katanya.

Berhubung bila memorandum akan diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Ambiga berkata, pihaknya masih cuba menyerahkan memorandum tersebut kepada Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak dapat memberikan tarikh sebenar kerana masih berusaha ke arah itu.

Mengenai tawaran perbahasan terbuka oleh Pemuda Umno, Ambiga berkata, Bersih 2.0 bersedia untuk berdebat di khalayak awam mengenai reformasi pilihan raya yang diperjuangkanny.

"Ia adalah perkembangan yang sihat. Kami bersedia untuk berbuat demikian. Malah kami mencadangkan supaya dapat menjawab soalan-soalan yang dilontarkan daripada orang ramai semasa debat tersebut," katanya.

Sementara itu, Ambiga turut menyeru pindaan ke atas proses pilihan raya yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kepada pihak kerajaan yang tidak diluluskan harus diumumkan kepada orang ramai.

Katanya, pihaknya turut bercadang untuk mengadakan dialog umum dengan SPR berkenaan dengan tuntutan-tuntutan Bersih 2.0.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan