PM Seru Rakyat Suarakan Protes Bersih

Diterbitkan: Isnin, 11 Julai 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Najib merangkap Presiden Umno berucap pada majlis Penerangan Perdana di Dewan Merdeka, PWTC pada Ahad. Seramai lebih 70 Badan Bukan Kerajaan (NGO) hadir pada majlis tersebut. Foto THE STAR/NORAFIFI EHSAN
Najib merangkap Presiden Umno berucap pada majlis Penerangan Perdana di Dewan Merdeka, PWTC pada Ahad. Seramai lebih 70 Badan Bukan Kerajaan (NGO) hadir pada majlis tersebut. Foto THE STAR/NORAFIFI EHSAN

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu majoriti suara rakyat yang menolak perhimpunan Bersih pada Sabtu supaya tidak berdiam diri.

Malah beliau menggesa rakyat bangkit mengutarakan pendapat masing-masing mengenai tindakan peserta perarakan haram yang menimbulkan suasana huru-hara di ibu negara.

"Sekarang sudah tiba masanya... kita perlu berhenti berdiam diri. Terdapat pelbagai cara yang boleh dilakukan untuk menyuarakan pendapat mengenai perhimpunan Bersih.

"Sebagai contoh, anda boleh utarakan komen di laman sosial atau secara talian berhubung perkara ini dan sokongan terhadap kerajaan.

"Namun ia tidak bermaksud pada suatu masa bahawa kita (kerajaan) tidak menjunjung prinsip demokrasi dan undang-undang negara ," katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penerangan Perdana di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), pada Ahad.

Ketika mengulas mengenai demonstrasi haram pada Sabtu, Najib berkata, tindakannya menawarkan perhimpunan diadakan di stadium turut dipertikaikan tetapi beliau memutuskan berbuat demikian kerana menghormati sistem demokrasi.

"Tapi saya tidak menawarkan Stadium Merdeka kepada mereka. Mereka boleh berhimpun di stadium di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat. Stadium Merdeka adalah simbol negara," katanya.

Menurut beliau, walaupun penganjur menghormati titah Yang di-Pertuan Agong untuk tidak mengadakan demonstrasi di jalanan pada awalnya, mereka tetap meneruskan perhimpunan kononnya secara aman.

"Mula-mula terima titah nasihat Agong, kata akan batalkan perhimpunan haram, lepas itu pusing balik sebab mereka ini kaki pusing, kata nak buat perarakan aman, kalau polis tak kawal, tak jadi aman.

"Mereka nak tunjuk pada dunia bahawa kita ini kerajaan yang tidak demokratik, tidak hormat pada undang-undang dan hak asasi manusia, jadi tidak hairanlah dia akan sebar dalam Youtube, media antarabangsa," ujarnya.

Sementara itu, beliau turut menggesa rakyat dari pelbagai kaum khususnya orang Melayu supaya bangkit susulan insiden pada Sabtu.

Seramai hampir 6,000 orang membanjiri Dewan Merdeka pada pagi Ahad untuk menghadiri sesi khas bersama Najib yang mejelaskan situasi semasa dan pendirian kerajaan berhubung insiden demonstrasi haram.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin, Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Naib-naib Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan dan Setiausaha Agung Umno Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan