Najib Tiba Di Turkmenistan Untuk Lawatan Dua Hari - Berita Semasa | mStar

Najib Tiba Di Turkmenistan Untuk Lawatan Dua Hari

Diterbitkan: Isnin, 11 Julai 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ASHGABAT (TURKMENISTAN): Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Ashgabat di sini Isnin untuk lawatan rasmi dua hari ke Turmenistan.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop serta Duta Malaysia ke Turkmenistan Datuk Saipul Anuar Abdul Muin berada di lapangan terbang untuk menyambut ketibaan Perdana Menteri dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Ini merupakan lawatan Najib yang pertama sejak menjadi Perdana Menteri pada 3 April, 2009. Ia adalah bagi memenuhi undangan Presiden Turkmenistan Gurbanguly Berdimuhamedov.

Selepas majlis sambutan rasmi di Kompleks Istana Presiden, Najib dijadual mengadakan perbincangan dengan Berdimuhamedov, diikuti dengan mesyuarat delegasi.

Selasa, Najib dan Berdimuhamedov akan bersama-sama melancarkan Terminal Gas Petronas di Kiyanli, Turkmenbasy, 600km dari Ashgabat.

Menurut Wisma Putra, lawatan ini menggambarkan inisiatif berterusan Malaysia untuk mengukuhkan hubungan dua hala dengan Turkmenistan.

Lawatan itu juga selaras dengan minat Malaysia untuk menggalak dan mempromosikan kerjasama dan dialog yang bermakna antara negara-negara di rantau Asia Tengah. - BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan