Lawatan Rasmi: Najib Berlepas Ke Turkmenistan - Berita Semasa | mStar

Lawatan Rasmi: Najib Berlepas Ke Turkmenistan

Diterbitkan: Isnin, 11 Julai 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SEPANG: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Isnin berlepas ke Turkmenistan untuk lawatan rasmi dua hari ke negara itu.

Beliau yang ditemani isteri Datin Seri Rosmah Mansor berlepas dari Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada 8.30 pagi ini.

Antara yang hadir mengucapkan selamat jalan ialah Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Timbalannya Datuk Abu Seman Yusop, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan.

Ini lawatan pertama Najib ke negara itu sejak memegang jawatan Perdana Menteri dan ia bagi memenuhi jemputan Presiden Gurbanguly Berdimuhamedov.

Semasa lawatan itu, Najib dijadual mengadakan perbincangan dua hala dengan Berdimuhamedov di ibu kota Ashgabat, selain merasmikan Terminal Gas Petronas di Kiyanli, Turkmenbasy, kira-kira 600km dari Ashgabat. - BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan