Demonstrasi Tidak Akan Selesaikan Masalah Politik - Ahmad Zahid

Diterbitkan: Isnin, 11 Julai 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Demonstrasi tidak akan menyelesaikan masalah politik atau sebarang isu dalam apa jua keadaan sekalipun, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Mengakui dirinya sebagai "kaki demonstrasi" ketika menjadi penuntut pada tahun 1970-an, Ahmad Zahid menyedari ia hanyalah perbuatan membuang masa dan mendapat "rasa dendam terbalas".

Beliau berkata acuan politik di negara ini tidak sama dengan negara jiran ataupun negara luar termasuklah cara Malaysia mendapatkan kemerdekaan iaitu menerusi rundingan.

"Saya tidak fikir perlu ada demonstrasi untuk menyatakan pendapat. Dalam hal ini, apa yang perlu kita lakukan ialah dengan memberikan peluang untuk kebebasan bersuara dan peluang secukupnya sudah diberikan kepada Anggota Parlimen menyuarakan pendapat di Parlimen.

"Oleh kerana kekebalan Anggota Parlimen yang dikenali sebagai wakil rakyat, suara mereka didengar di seluruh negara dalam sistem media yang ada sekarang, apatah lagi ada media baru, alternatif dan siber, peluang diberikan seluas-luasnya untuk menyatakan pendapat yang berbeza," katanya dalam sidang media selepas melancarkan dana wakaf 'Al-Quran Sinar Sejagat' 2 di Kompleks Taman Seni Islam Selangor di sini Isnin.

Mengulas mengenai perhimpunan haram di ibu negara Sabtu lepas, Ahmad Zahid sinis mengucapkan 'tahniah' kepada penganjur kerana 'berjaya memburukkan imej negara'.

"Pada hari itu, saya memantau semua media antarabangsa sama ada elektronik atau cetak, hasilnya imej Malaysia telah buruk dan tercalar.

"Rakan saya dari negara Islam berkata ada tiga negara iaitu Malaysia, Turki dan Iran boleh dijadikan contoh negara Islam yang baik. Tetapi, apabila ada demonstrasi begini, harapan mereka untuk melihat Malaysia sebagai sebuah negara aman, berkecai.

"Daripada segi itu, mereka berjaya. Saya ucapkan tahniah dan jangan buat lagi," katanya.

Ahmad Zahid turut mempersoalkan tujuan perhimpunan diadakan kerana tiada siapa berucap sedangkan penganjur sebelum itu berjuang kononnya untuk menegakkan kebebasan bersuara. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan