Perhimpunan Haram Juga Bermatlamat Cemar Imej Malaysia Di Luar Negara

Diterbitkan: Sabtu, 9 Julai 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Perhimpunan haram Bersih 2.0 pada Sabtu bukan hanya bertujuan mendesak perubahan dalam sistem pilihan raya negara tetapi juga bermatlamat mencemarkan imej Malaysia di peringkat antarabangsa berikutan protes turut diadakan di luar negara.

Di Bangkok, koresponden Bernama Thailand, Jamaluddin Muhammad melaporkan kira-kira 20 aktivis hak asasi manusia mengadakan demonstrasi aman di depan Kedutaan Malaysia sebagai menyokong perhimpunan haram Bersih 2.0 di Kuala Lumpur.

Patcharee Sae-Eaw, pegawai undang-undang People's Empowerment Foundation, kumpulan hak asasi manusia berpangkalan di Bangkok, berkata kehadiran kumpulan itu bagi menunjukkan permuafakatan dengan pergerakan yang mendesak bagi pilihan raya lebih adil dan bersih di Malaysia.

Katanya pergerakan hak asasi manusia yang lain dari Jepun, Malaysia dan Sweden yang berpangkalan di ibu negara itu turut menyertai demonstrasi kira-kira sejam bermula 1.30 tengah hari waktu tempatan.

Demonstrasi di Bangkok diselaraskan antara kumpulan hak asasi manusia di Malaysia dan Thailand serta Parti Sosialis Malaysia, katanya.

Di Singapura, koresponden Bernama, Tengku Noor Shamsiah Tengku Abdullah melaporkan kira-kira 100 penyokong Bersih 2.0 berkumpul di Hong Lim Park pada tengah hari dengan memakai pakaian kuning dan mengagihkan ros kuning kepada orang ramai di kawasan itu.

Sementara itu agensi berita AFP melaporkan di Hong Kong, kira-kira 80 warga Malaysia yang memakai kemeja T kuning berkumpul di depan Pejabat Konsulat Malaysia dan menyerahkan memorandum yang menyatakan rakyat Malaysia yang tinggal di Hong Kong, menyokong desakan Bersih 2.0 bagi pilihan raya bebas dan adik.

Di Seoul, kita-kira 30 rakyat Malaysia, kebanyakannya pelajar dan mereka yang bekerja di ibu negara Korea Selatan itu berkumpul sambil membawa sepanduk dan bergilir-gilir menyampaikan ucapan menggesa bagi pembaharuan pilihan raya di Malaysia.

Di Melbourne, Australia, hanya kira-kira 50 penunjuk perasaan dilaporkan berkumpul di Federation Square manakala di New Zealand, kira-kira 10 penunjuk perasaan berkumpul di Christchurch.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam satu kenyataan di sini, berkata dengan melihat kepada tindak tanduk mereka yang terlibat dalam perhimpunan haram hari ini, jelas niat dan hasrat mereka adalah untuk menghuru-harakan negara dan mengharapkan diri mereka ditahan bagi menggambarkan kekejaman pihak kerajaan.

"Matlamatnya hanya satu iaitu agar masyarakat antarabangsa mempunyai persepsi negatif terhadap negara ini.

"Pembangkang mahu agar Malaysia dilihat sebagai tidak stabil dan diakhirnya akan membawa kepada pelbagai kesan termasuk kekacauan terhadap ekonomi dan menjatuhkan kerajaan yang telah dipilih secara demokratik," katanya. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan