Pemuda Umno Teruskan Perhimpunan

Diterbitkan: Sabtu, 9 Julai 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pemuda Umno dan Kelab Putera 1Malaysia akan tetap meneruskan perhimpunan mereka pada Sabtu biarpun polis telah memberi amaran akan menahan mereka yang menyertai sebarang perhimpunan di Kuala Lumpur.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata Perhimpunan Patriot akan bermula di Jalan Bukit Bintang di sini pada pukul 10 pagi.

"Ini adalah hak kita untuk berhimpun seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

"Kita akan terima apa sahaja tindakan yang akan dikenakan kepada kita," katanya kepada pemberita di Pusat Dagangan Dunia Putra pada, Jumaat.

Polis Kuala Lumpur pada Khamis memperoleh perintah daripada mahkamah untuk menghalang 91 pemimpin daripada tiga kumpulan utama yang merancang untuk berhimpun pada Sabtu ini.

Perintah berkenaan melarang semua individu tersebut daripada Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Bersih 2.0 dan Patriot supaya tidak hadir atau mengambil bahagian dalam perhimpunan berkenaan.

Polis turut mendapat perintah larangan bagi menghalang pemimpin Pemuda Umno yang merancang menganjurkan perhimpunan Patriot termasuk ketuanya, Khairy, Datuk Megat Firdouz Megat Junid dan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican

Beliau berkata pihaknya akan berarak daripada Jalan Bukit Bintang ke Stadium Merdeka.

"Kita akan cuba mencari jalan untuk berkumpul di Stadium Merdeka. Kita telah lebih awal memohon untuk menggunakan Stadium Merdeka sebagai tempat perhimpunan kita.

"Petang ini sekali lagi kita akan buat permohonan kepada polis di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi untuk dapatkan permit berkumpul di Stadium Merdeka esok," katanya.

Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, Pemuda Umno telah memohon permit polis pada 24 Jun yang lalu bagaimanapun permohonan tersebut telah ditolak pada 6 Julai

Berhubung larangan yang dikeluarkan oleh polis terhadapnya bersama 90 individu yang lain, Khairy menegaskan beliau masih belum menerima sebarang notis daripada mahkamah yang memaklumkan mengenai perkara tersebut.

“Saya belum terima apa-apa setakat ini. Kita mempunyai hak untuk berhimpun seperti yang termaktub dalam Perlembagaan. Kami tidak mahu bertembung dengan sesiapa terutamanya polis, tetapi ini adalah hak demokrasi.

“Selepas mengadakan mesyuarat dengan Exco Pemuda, kami sebulat suara bersetuju untuk teruskan himpunan Patriot. Kita terpaksa teruskan juga himpunan ini mereka Bersih masih mahu mengadakan himpunan di Kuala Lumpur,” katanya. Mengulas lanjut mengenai Perhimpunan Patriot pada Sabtu, Khairy turut menolak dakwaan perhimpunan Patriot akan diadakan di Stadium Merdeka pada Sabtu sengaja mahu mewujudkan suasana tegang dengan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang turut berkeras mahu berhimpun di tempat yang sama.

“Kami tidak berminat untuk bertembung dengan sesiapa. Kawalan keselamatan bergantung kepada polis. Sekiranya kita tidak dibenarkan berhimpun di Stadium Merdeka kita akan mencari lokasi lain. Itu kita akan maklumkan kemudian.

“Kami bukan kerajaan, bukan polis, kami lakukan apa yang perlu,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa Perhimpunan Patriot mewakili kumpulan ‘majoriti senyap’ yang tidak bersetuju dengan tindakan Bersih.

Pada Rabu, Jawantankuasa Bersih memutuskan perhimpunan Bersih 2.0 akan tetap diadakan di Stadium Merdeka walaupun mereka gagalkan mendapatkan permit daripada pihak polis.

Ahad lalu, Istana Negara mengeluarkan titah khas yang menasihatkan rakyat mengelakkan kemusnahan negara dengan menyelesaikan satiap permasalahan melalui rundingan dan tidak mengikut perasaan.

Seri Paduka bertitah rakyat Malaysia tidak boleh terikut-terikut dengan amalan negara luar kerana keharmonian dan kestabilan negara adalah asas penting bagi sesebuah negara yang perlu dipertahankansemua pihak.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan