Kerajaan Akan Tambah Jenis Barangan Di Bawah Akta Kawalan Harga - Ismail Sabri

Diterbitkan: Jumaat, 8 Julai 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Kerajaan akan menambah jenis barangan keperluan yang akan diletakkan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011, dari semasa ke semasa.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Ismail Sabri Yaakob berkata senarai itu akan ditambah daripada 355 jenis barangan yang dipantau secara keseluruhan oleh kementerian itu.

"Ia tidak terhad kepada 35 jenis barangan yang telah diletakkan di bawah akta tersebut seperti diumumkan semalam," katanya kepada media selepas menghadiri perhimpunan bulanan kementerian itu di sini.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan 35 jenis barangan itu selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Bekalan dan Harga.

Ismail Sabri berkata pemilihan barangan itu berdasarkan penggunaan setiap hari oleh pengguna dalam kategori berpendapatan rendah dan sederhana yang lebih terjejas setiap kali berlaku kenaikan harga barang.

Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 ini merupakan akta yang dapat melindungi pengguna daripada peniaga yang menjual barang dengan harga yang tinggi dan tidak munasabah, dengan tujuan untuk mengaut keuntungan yang berlebih-lebihan.

Kesemua 35 jenis barangan itu terletak di bawah tujuh kategori iaitu ayam dan telur; daging; barang berbungkus tin; barang kering; sayur-sayuran; hasil laut; dan buah-buahan.

Menteri itu juga berkata kelapa juga mungkin akan dimasukkan sebagai salah satu jenis barangan yang akan diletakkan di bawah akta itu di masa-masa akan datang berikutan peningkatan harga bahan tersebut di pasaran dunia ketika ini.

"Kita terpaksa mengimport 300 juta biji kelapa setahun dari Indonesia di mana negara itu kini menaikkan harga berikutan permintaan yang mula meningkat dari Thailand," katanya.

Katanya Malaysia mengeluarkan sebanyak 400 juta biji kelapa setahun dan tidak dapat memenuhi permintaan yang hampir sekali ganda itu. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan