SPR Tiada Kuasa Adakan Pilihan Raya Pihak Berkuasa Tempatan

Diterbitkan: Rabu, 6 Julai 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak menpunyai bidang kuasa untuk mengadakan pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berikutan pemansuhan peruntukan tersebut oleh Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).

SPR dalam buku "Penjelasan Terhadap Isu-isu yang Dibangkitkan Mengenai Pilihan Raya" berkata sebelum ini Bahagian V Akta Pilihan Raya Kerajaan Tempatan 1960 (Akta 473) menpunyai peruntukan mengenai kuasa SPR untuk menyelia pilihan raya bagi melantik Anggota Majlis sesuatu PBT.

Bagaimanapun semua bidang kuasa tersebut dimansuhkan oleh subseksyen 15(1) Akta 171.

"Dengan termansuh dan terhentinya kuat kuasa dan kesan bagi apa-apa peruntukan berhubung dengan pilihan raya kerajaan tempatan di bawah Akta 473, Seksyen 10 Akta 171 menghendaki keanggotaan sesuatu Majlis PBT dibuat secara pelantikan," kata buku tersebut.

Katanya jika mana-mana PBT mahu mengadakan semula pilihan raya PBT, suatu keputusan dasar hendaklah dibuat terlebih dahulu bagi menentukan sama ada pilihan raya PBT hendak diadakan semula atau sebaliknya.

Katanya bidang kuasa bagi mana-mana negeri yang berkenaan adalah tertakluk kepada Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) dan apa-apa perkara yang melibatkan perubahan dasar dan perundangan mengenainya adalah tertakluk kepada kelulusan MNKT.

Mengenai isu pilihan raya yang bebas dan adil, SPR berkata ketelusan badan itu boleh dilihat di pelbagai peringkat seperti ketelusan semasa proses penamaan calon, semasa tempoh berkempen, semasa hari pengundian, semasa proses pengiraan kertas undi dan semasa mengisytiharkan pemenang bagi parti yang bertanding.

Katanya kewibawaan SPR juga terbukti melalui pengendalian 12 pilihan raya umum (PRU) sejak 1959 termasuk PRU ke-12 yang menyaksikan pembangkang memenangi 82 daripada 222 kerusi Parlimen dan menguasai tiga buah negeri baru.

"Kesemua ini meyakinkan rakyat bahawa sistem pilihan raya yang diguna pakai sekarang adalah sistem yang berwibawa, bebas dan adil.

"Ini kerana keputusan-keputusan pilihan raya telah diterima secara sah oleh semua pihak sama ada kerajaan mahupun pihak pembangkang yang telah membawa kepada pembentukan kerajaan yang diiktiraf," katanya.

Menurut buku tersebut, SPR ditubuhkan mengikut Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan dan salah satu fungsi utama SPR yang diperuntukkan oleh Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan ialah membuat kajian dan persempadanan semula bahagian-bahagian pilihan raya Parlimen dan Negeri setiap tidak kurang daripada lapan tahun selepas tarikh siapnya urusan kajian dan persempadanan semula yang terdahulu.

Katanya sebagai sebuah suruhanjaya bebas, keputusan SPR tidak dipengaruhi oleh sesiapapun dan melaksanakan fungsinya berlandaskan kerangka enam undang-undang yang sedang berkuat kuasa.

Undang-undang tersebut ialah Perlembagaan Persekutuan (Perkara 113-120), Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Akta Pilihan Raya 1958, Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pejalanan Pilihan Raya) 1981, Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 dan Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003.

Perkara 118 Perlembagaan Persekutuan juga membenarkan pihak-pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan pilihan raya yang dikendalikan SPR untuk mengemukakan petisyen pilihan raya kepada mana-mana Mahkamah Tinggi dan seterusnya rayuan juga boleh dibuat di Mahkamah Persekutuan dalam tempoh 14 hari dari tarikh keputusan sekiranya tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi.

SPR menegaskan ia tidak mempunyai apa-apa kuasa atau sebarang hak untuk terlibat atau mempengaruhi keputusan mahkamah.

Bagi isu hak untuk memantau pilihan raya, SPR menjelaskan mana-mana pihak yang berminat untuk menjadi pemerhati atau pemantau pilihan raya perlu mendapatkan kebenaran dari SPR terlebih dahulu dan kelulusan adalah tertakluk kepada peraturan dan garis panduan SPR.

Buku itu juga menjelaskan bahawa SPR pernah memberi akreditasi kepada Badan Bebas Pemantau Pilihan Raya Malaysia (MAFREL) sebagai pemerhati pilihan raya semasa PRU ke-12, diikuti dengan beberapa pilihan raya kecil yang berlangsung pada 2009. Bagaimanapun katanya, MAFREL telah gagal mengemukakan syarat-syarat pelantikan badan tersebut sebagai pemerhati pilihan raya. "Malah, MAFREL juga didapati melanggar beberapa syarat lain yang telah ditetapkan seperti membuat kenyataan media mengenai pemerhatian pilihan raya tanpa pengetahuan SPR," katanya.

Ekoran itu, SPR tidak lagi melantik MAFREL untuk menjadi pemerhati pilihan raya. -BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Kolumnis

iklan

Iklan