Shahrizat Terima Anugerah Keluarga Daripada PBB

Diterbitkan: Rabu, 6 Julai 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil pada Selasa diberi penghormatan oleh Majlis Ekonomi dan Sosial (Ecosoc) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta World Family Organization (WFO) menerusi Anugerah Keluarga Ecosoc PBB/WFO.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam satu kenyataan berkata anugerah itu diberikan bagi mengiktiraf komitmen beliau dalam melaksanakan polisi awam untuk manfaat wanita serta keluarga selain memperkukuh kerjasama serantau dalam memperbaiki mutu pendidikan.

Menurut kenyataan itu, penerima lain anugerah berkenaan ialah Puteri Haya Al Hussein dari Jordan serta Ketua Pengarah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Islam (Isesco) Dr Abdulaziz Othman Altwaijri.

Ketika menerima anugerah itu di ibu pejabat PBB di Geneva, Shahrizat berkata anugerah itu sebagai mengiktiraf kerja baik yang dibuat oleh kementerian itu dan ia satu penghormatan untuk negara dan kementerian, khususnya agensinya, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

"Ia juga sebagai insentif kepada kementerian untuk meneruskan usaha meletakkan pembangunan keluarga sebagai agenda utama negara," kata Shahrizat.

Dalam ucaptamanya, Shahrizat menekankan peranan yang dimainkan oleh kementerian itu, melalui agensinya LPPKN, dalam membangunkan keluarga yang kukuh, berdaya tahan dan sihat ke arah Matlamat Pembangunan Milenium 2 (mencapai pendidikan rendah sejagat).

Sepanjang satu dekad yang lepas, keluarga di Malaysia telah mendapat manfaat daripada pelbagai dasar mesra keluarga, program pendidikan dan perkhidmatan, yang telah mewujudkan satu persekitaran yang membolehkan kanak-kanak untuk mendapat pendidikan.

Kenyataan itu berkata negara telah mencapai persamaan jantina dalam akses bagi pendidikan untuk kanak-kanak lelaki dan perempuan.

"Pada 2009, kadar kenal huruf di kalangan lelaki berusia 15 hingga 24 tahun adalah 97.2 peratus pada 2009 dan 97.3 peratus di kalangan perempuan dalam kumpulan umur yang sama," kata kenyataan itu lagi. Antara program yang berjaya kementerian perjuangkan termasuk modul pendidikan keluarga yang memberi tumpuan kepada keibubapaan, kesihatan reproduktif remaja dan pembangunan sosial, keluarga dan pengurusan kewangan, kata kenyataan itu.

"Semua topik ini, kini diperkenalkan sebagai mata pelajaran kokurikulum di peringkat ijazah di Universiti Utara Malaysia (UUM)," tambah kenyataan itu.

Anugerah Keluarga Ecosoc PBB/WFO adalah anugerah kedua yang diberi oleh PBB kepada Malaysia menerusi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Pada 2007, LPPKN menerima Anugerah Populasi PBB, mengiktiraf pencapaiannya dalam bidang kesihatan reproduktif, penyelidikan sosio-demografi dan pembangunan keluarga.- BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan