Selangor Sokong Perhimpunan Bersih Di Stadium

Diterbitkan: Rabu, 6 Julai 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor menyokong tindakan penganjur Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mahu mengadakan perhimpunan mereka di Stadium Merdeka Sabtu ini.

Menteri Besarnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata kerajaan negeri akan memberi sokongan moral kepada Bersih dalam menuntut satu sistem pilihan raya yang adil dan telus di negara ini.

“Jawatankuasa Bersih mempunyai keputusan mereka sendiri. Kalau mereka bersetuju untuk mengadakan himpunan di Stadium Merdeka. Kita akan memberitahu rakan-rakan kita supaya memberi sokongan dan menghayati tujuan dan visi Bersih.

“Saya rasa cara menunjukkan sokongan sangat penting, jadi tindak balas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan lebih positif dalam menyelesaikan isu-isu berkaitan pilihan raya supaya lebih telus dan saksama,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Rabu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan Bersih memilih Stadium Merdeka sebagai lokasi perhimpunan mereka Sabtu ini.

Pengerusi Bersih, Datuk S. Ambiga mengumumkan Perhimpunan Bersih akan diadakan di Stadium Merdeka tanpa sebarang perarakan tersebut selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara pada Selasa.

Ahad lalu, Istana Negara mengeluarkan titah khas yang menasihatkan rakyat mengelakkan kemusnahan negara dengan menyelesaikan satiap permasalahan melalui rundingan dan tidak mengikut perasaan.

Seri Paduka bertitah rakyat Malaysia tidak boleh terikut-terikut dengan amalan negara luar kerana keharmonian dan kestabilan negara adalah asas penting bagi sesebuah negara yang perlu dipertahankansemua pihak.

Berhubung cadangan supaya Bersih hanya perlu menghantar memorandum bantahan kepada Yang di-Pertuan Agong tanpa perlu mengadakan perhimpunan di stadium, Abdul Khalid berkata: "Saya tidak campur dengan perbahasan tersebut. Ini terpulang kepada jawatankuasa Bersih.

"Saya ingin tegaskan di sini kerajaan negeri tidak terlibat dengan sebarang perbincangan bersama Jawatankuasa Bersih . Dari segi sokongan kita percaya sekiranya pilihan raya bersih dan adil ia lagi bagus untuk rakyat Selangor,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Abdul Khalid turut melahirkan rasa kesal berhubung pendakwaan 11 ahli Majlis Perbandaran Kajang di mahkamah kerana memakai baju Bersih pada mesyuarat rasminya pada Selasa.

Sambil menyifatkan tindakan polis sebagai tidak wajar, beliau berkata perkara tersebut hanya menyekat kebebasan bergerak dan bersuara rakyat di negara ini.

“Tindakan ini menyekat kebebasan bersuara kerana setiap orang bebas meluahkan yang mereka fikirkan.

“Saya harap pihak polis dapat mengurangkan tindakan mereka kerana semua pihak termasuk Bersih telah memberi penjelasan mereka,” katanya.

Pada Selasa, 11 ahli Majlis Perbandaran Kajang ditahan oleh polis Selangor kerana memakai baju Bersih ketika hadir pada mesyuarat rasmi mereka.

Mereka dijangka akan didakwa pada Khamis di bawah Seksyen 47 Akta Pertubuhan 1966 kerana didakwa menerbitkan propaganda sebuah pertubuhan yang tidak sah.

Ditanya sama ada kerajaan negeri akan campur tangan dalam menyelesaikan isu berkenaan Abdul Khalid berkata, beliau menyerahkan perkara tersebut kepada Pihak Berkuasa Tempatan untuk menyelesaikannya terlebih dahulu.

“Kita akan serahkan kepada PBT untuk menyelesaikan masalah ini. Saya tidak fikir mereka telah melakukan satu perkara yang melanggar undang-undang dengan memakai baju berwarna kuning.

“Sekiranya mereka tidak boleh menyelesaikan masalah tersebut dan meminta bantuan daripada kerajaan negeri barulah kita akan melihatnya kembali,” katanya.

iklan

Video

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Selasa, 14 November 2017 9:00 AM

“Penat..Tapi Best!” - Nad Zainal

Kolumnis

iklan

Iklan