Operasi Besar-Besaran JPJ Menjelang Hari Raya

Diterbitkan: Isnin, 4 Julai 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MIRI: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengadakan operasi besar-besaran menjelang Hari Raya Aidilfitri ini bagi memastikan semua pengguna jalan raya mematuhi peraturan terutama dalam pemakaian tali pinggang belakang kenderaan.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Solah Mat Hassan berkata walaupun pelbagai kempen telah diadakan, masih ramai penumpang enggan menggunakan tali pinggang belakang.

Tindakan saman boleh dikenakan terhadap mereka yang melakukan kesalahan itu, katanya selepas upacara penutupan program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) Khas Ba'kelalan di Ba'Kelalan di sini, Ahad.

Seramai 77 peserta terdiri daripada penduduk setempat dan kawasan sekitar lulus ujian dan menerima lesen memandu percubaan masing-masing.

Solah berkata berdasarkan pemerhatian pihaknya, kesedaran dan budaya pemakaian tali pinggang keledar di kalangan pemilik dan penumpang kenderaan belum lagi wujud.

"Penguatkuasaan semata-mata tidak akan berkesan jika tidak wujud kesedaran di kalangan mereka," katanya.

Sementara itu Solah berkata jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya di Sarawak mencatatkan peningkatan tahun lepas berbanding tahun sebelumnya dengan penunggang dan pembonceng motosikal masih lagi mangsa tertinggi.

Beliau berkata sebanyak 327 kes kemalangan maut dicatat sepanjang tahun lepas berbanding hanya 303 kes pada tahun 2009. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan