Keperluan Rakyat Keutamaan Teratas Saya Dan Kerajaan - Najib

Diterbitkan: Isnin, 4 Julai 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan kerajaan pimpinannya sentiasa meletakkan keperluan rakyat sebagai keutamaan teratas selaras gagasan 1Malaysia, iaitu Rakyat Didahulukan.

Najib berkata adalah menjadi tanggungjawab beliau dan kerajaan untuk peka terhadap keperluan rakyat yang mendesak seperti pendidikan, penjagaan kesihatan dan perumahan.

"Keutamaan teratas bagi diri saya adalah untuk memastikan bahawa kami melakukan yang terbaik bagi memenuhi keperluan ini," katanya dalam entri terbaru blog beliau www.1malaysia.com.my yang bertajuk Rakyat Didahulukan, Ahad.

Najib berkata sewaktu Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein menjadi perdana menteri, beliau pernah terfikir betapa berat tanggungjawab yang dipikul bapanya kerana sentiasa memikirkan bebanan dan kerisauan rakyat.

"Sejak dua tahun yang lalu, saya turut melalui pengalaman yang sama. Keadaan hari ini dan cabaran yang diberikan ternyata berbeza dibandingkan dengan zaman yang dilalui oleh Allahyarham bapa saya, begitu juga dengan kaedah dan pendekatan yang boleh diperoleh hari ini," katanya.

"Namun, tanggungjawab seorang perdana menteri tidak banyak berubah: Rakyat Didahulukan pada bila-bila masa," katanya.

Beliau berkata bagi memastikan keperluan rakyat dipenuhi, pelbagai usaha dilakukan seperti pelancaran Kedai Rakyat 1Malaysia, Skim Perumahan Rakyat 1Malaysia (Prima) dan Rang Undang-Undang Majlis Perundingan Gaji Negara yang diluluskan Parlimen baru-baru ini.

Najib berkata beliau amat sedar tentang bebanan kos yang semakin meningkat yang dihadapi rakyat Malaysia, terutama di kalangan penduduk di kawasan bandar.

"Saya telah menerima laporan terkini daripada orang ramai dan saya sendiri membaca komen-komen dari anda yang ditujukan khas kepada saya melalui Facebook dan Twitter.

"Perkara ini seringkali dibangkitkan di kala aktiviti mesra rakyat dan interaksi bersemuka dengan rakyat, sungguhpun saya tidak mempunyai keupayaan sebagai seorang individu untuk memperbaiki keadaan kewangan anda, seorang demi seorang, namun percayalah saya memberikan usaha yang terbaik untuk membantu seramai yang mungkin," katanya.

Najib berkata beliau gembira dapat melancarkan Kedai Rakyat 1Malaysia bulan lepas, yang merupakan satu inisiatif awam-swasta bagi mengurangkan bebanan kewangan rakyat dan barangan keperluan asas dijual pada kadar 40 peratus lebih rendah berbanding harga runcit biasa.

"Bermula dengan sebuah kedai sahaja, Kedai Rakyat ini nanti akan berkembang meliputi lokasi-lokasi strategik yang lain," katanya. Mengenai Skim Rumah Pertamaku, Najib berkata beliau memahami tidak banyak pembangunan rumah yang dapat diperoleh pada harga RM220,000 justeru, baru-baru ini, beliau mengumumkan satu skim akan dilancar untuk membina rumah mampu milik yang berharga di bawah kadar pasaran, khusus bagi kumpulan sasar. "Prima yang akan saya lancarkan esok, adalah satu lagi perkongsian pintar awam-swasta yang diharap dapat meringankan beban kewangan untuk memiliki rumah, dan membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia untuk menjadi pemilik rumah," katanya.

Menerusi Majlis Perundingan Gaji Negara, Najib berkata tiga pihak iaitu pekerja, majikan dan kerajaan akan duduk bersama-sama untuk menentukan satu kadar yang saksama bagi pekerja dan majikan.

"Kita tidak mahu kehilangan rakyat Malaysia yang mahir dan kami percaya inilah satu langkah ke haluan yang betul.

"Dengan skala gaji yang lebih baik, ditambah dengan budaya kerja yang lebih berdaya saing dan produktif, saya yakin rakyat Malaysia akan berasa lebih terjamin akan keselamatan ekonomi mereka di negara ini," katanya. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan