Kemungkinan Tangkapan Lagi Di Bawah Ordinan Darurat - Khalid

Diterbitkan: Isnin, 4 Julai 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Polis tidak menolak kemungkinan membuat tangkapan di bawah Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Pencegahan Jenayah) 1969 kerana penglibatan dalam anasir subversif.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Khalid Abu Bakar menolak dakwaan sesetengah pihak bahawa tangkapan itu dibuat sesuka hati sebaliknya menegaskan ia dibuat mengikut lunas undang-undang negara.

"Ini adalah undang-undang yang ada di negara ini. Bukan pandai-pandai polis ambil tindakan sendiri. Apa juga tindakan kita adalah berdasarkan peraturan dan undang-undang yang ada di Malaysia," katanya.

Pada Sabtu lalu, polis menahan Anggota Parlimen Sungai Siput Dr Jeyakumar Devaraj dan lima anggota Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengikut Ordinan Darurat itu.

Ditanya mengenai tangkapan berkaitan penganjuran perhimpunan haram pada 9 Julai ini, Khalid berkata sehingga hari ini, polis menahan 152 orang mengikut Seksyen 27 (5) Akta Polis. Polis turut menerima 2,500 laporan polis daripada pelbagai pihak termasuk peniaga, individu dan badan bukan kerajaan (NGO) di seluruh negara yang membantah perhimpunan itu, katanya.

Ditanya tentang komen pihak luar berhubung tindakan polis terhadap penganjuran perhimpunan haram itu, Khalid berkata mereka sepatutnya tidak mempersoalkan tindakan polis berbuat demikian.

Katanya polis mempunyai alasan kukuh mengharamkan perhimpunan itu selain mempunyai tanggungjawab menjaga keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

"Kita haramkan perhimpunan itu tentunya ada sebab... kepada pihak luar yang komen macam-macam pasal tindakan kita bantah perhimpunan itu, nasihat saya tak payah masuk campur hal negara ini," katanya.

Terdahulu, beliau menyaksikan pelancaran "Reuniting Families-Child Safety" oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Senator Heng Seai Kie.

Turut hadir Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Zinin dan Pengerusi RHB Bank Berhad Tan Sri Azlan Zainol. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan