Tiada Siapa Dapat Beri Jaminan Semasa Perhimpunan - Muhyiddin

Diterbitkan: Ahad, 3 Julai 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BAGAN SERAI: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata tiada sesiapa pun dapat memberi jaminan tidak berlaku sebarang kejadian yang tidak baik pada perhimpunan haram di Kuala Lumpur pada 9 Julai ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata tindakan dari hanya satu pihak sahaja sudah cukup untuk mencetuskan huru hara dan tiada siapa boleh memberi jaminan 100 peratus bahawa perhimpunan akan diadakan secara aman.

"Lebih baik mengambil langkah awal sebelum tercetus kejadian tidak diingini. Inilah rasional pihak berkuasa melarang perhimpunan itu," katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis "Kenduri Rakyat" di Dataran Alor Pongsu, dekat sini, Sabtu.

Muhyiddin berkata Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) Datuk S. Ambiga atau Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak boleh menyatakan perhimpunan itu dijalankan secara aman dan tiada perkara buruk akan berlaku.

"Tak boleh jamin 100 peratus...letak deposit cakap takde apa berlaku," katanya.

Muhyiddin berkata soal pokok sekarang adalah perhimpunan itu boleh menyebabkan pergolakan dan ketegangan yang akan menyebabkan negara kita menghadapi masalah besar, ekonomi akan terbantut dan perpaduan rakyat akan tergugat.

"Pengalaman di negara-negara yang kita tahu di Timur Tengah (apabila berlaku pergolakan), kuasa-kuasa asing mudah campur tangan dengan menghantar pasukan tentera dan sebagainya kononnya nak bantu selesai masalah negara itu," katanya. Katanya pengalaman negara lain harus dijadikan iktibar supaya tidak berlaku di negara ini.

Mengenai tindakan kumpulan yang membantah perhimpunan haram itu dengan mengadakan demonstrasi seperti di Pulau Pinang, semalam, Muhyiddin berkata keadaan boleh menjadi lebih buruk jika pihak yang menyokong dan membantah bertembung. Oleh itu, bagi mengelak kejadian lebih buruk, pihak berkuasa terpaksa mengambil tindakan tanpa memilih bulu, katanya. Mengenai dakwaan supaya perhimpunan itu dibenarkan dan dikawal, Muhyiddin berkata perhimpunan Bersih adalah untuk menyerahkan memorandum dan ia tidak memerlukan 100,000 orang dan cukuplah hanya seorang untuk melakukannya. "Saya pesimistik dalam hal ini. Apa saja yang dilakukan bukan hasilkan keputusan yang baik...sama ada sokong atau tak ia takkan bawa kesan yang baik kepada negara," katanya.

Muhyiddin berkata asas kepada pembangunan masa depan negara bergantung kepada negara kekal stabil dan tidak berdepan dengan pergolakan sama ada keselamatan atau politik. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan