Tiada Cadangan Perluas Kedai Rakyat 1Malaysia Di Luar Lembah Klang - Ismail Sabri

Diterbitkan: Sabtu, 2 Julai 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BERA: Kerajaan tidak bercadang untuk membuka Kedai Rakyat 1Malaysia di luar Lembah Klang bagi mengelakkan persaingannya dengan kedai runcit sedia ada.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan bagaimanapun sedang mempertimbangkan untuk memperluaskan penjualan produk Kedai Rakyat 1Malaysia ke kedai-kedai runcit di luar Lembah Klang bagi memudahkan penduduk mendapat barangan runcit yang murah dan berkualiti.

"Kita tidak mahu timbul isu ada kedai runcit di luar bandar yang terpaksa gulung tikar ekoran kewujudan Kedai Rakyat 1Malaysia yang menjual barangan lebih murah, namun kita masih di peringkat perbincangan untuk memperluaskan penjualan produk di kedai itu di kedai di luar Lembah Klang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan 50 Tok Batin dan pemimpin masyarakat Orang Asli Parlimen Bera di sini Sabtu.

Ismail Sabri berkata antara perkara yang dibincangkan adalah kos pengangkutan barangan ke luar bandar yang boleh menyebabkan harga barangan menjadi mahal.

Ismail Sabri berkata buat masa ini pihaknya sedang menumpukan ke arah memperluaskan penjualan produk Kedai Rakyat 1Malaysia ke kedai runcit di perumahan awam kos rendah di sekitar Kuala Lumpur terlebih dahulu sebelum ia diperluaskan ke lain-lain kawasan dan negeri.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Harga Barang akan diadakan pada Khamis depan dan dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. Mesyuarat itu akan disertai beberapa kementerian lain yang berkaitan bagi membincangkan harga barangan menjelang bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan