Sultan Pahang Rayu Rakyat Jauhi Perhimpunan Haram 9 Julai

Diterbitkan: Sabtu, 2 Julai 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ROMPIN: Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah merayu agar rakyat negeri itu tidak terlibat dengan perhimpunan haram Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang dirancang diadakan 9 Julai ini.

Baginda bertitah perhimpunan itu tidak memberi manfaat kepada rakyat, sebaliknya bakal menyusahkan banyak pihak yang selama ini tinggal dalam suasana aman dan harmoni di negara ini tanpa mengira kaum.

"Saya merayu rakyat saya supaya tidak campur tangan dalam hal Bersih ini, bersih ke kotor ke, tetapi sekali ia namanya demonstrasi, memang ia tidak bersih lagi," titah baginda kepada pemberita selepas merasmikan bangunan pejabat Stesen Institut Penyelidikan Pembangunan Pertanian Malaysia (Mardi) Muadzam Shah, Sabtu.

Sultan Ahmad Shah bagaimanapun percaya rakyat Pahang sudah cukup bijak untuk menilai kebaikan dan keburukan menyertai perhimpunan haram itu dan yakin mereka tidak akan melibatkan diri pada hari berkenaan.

Titah baginda, perhimpunan sedemikian tidak sepatutnya berlaku memandangkan Malaysia sudah mengecapi kemerdekaan selama 54 tahun.

"Kita duduk aman makmur antara satu kaum dengan kaum yang lain sudah 54 tahun, jadi tak payahlah ada demonstrasi, dan saya secara peribadinya memang menentang perkara ini, dan kita semua harus tentang habis-habisan," titah baginda sambil menambah sesiapa yang terlibat dengan perhimpunan itu, perlu dikenakan tindakan sewajarnya.

Di KUALA LUMPUR, Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (Pesara Kerajaan), yang mewakili kira-kira 590,000 anggota di seluruh negara, menggesa penganjur perhimpunan haram itu membatalkan rancangan mereka.

Presidennya, Datuk Paduka Raja Wan Mahmood Pawan Teh berkata Pesara Kerajaan bimbang perhimpunan itu didalangi pihak tidak bertanggungjawab dari dalam dan luar negara untuk menekan kepimpinan kerajaan sekarang.

"Perhimpunan haram ini bakal membawa risiko tinggi kerana ia akan mengugat keselamatan negara...apa yang lebih membimbangkan ialah wujudnya pihak-pihak dari luar negara yang turut memainkan peranan dalam perhimpunan.

"Tidak ada sebarang faedah yang dapat dikecapi menerusi perhimpunan haram ini, sebaliknya ia akan menjejaskan kedudukan Malaysia sebagai negara yang aman dan stabil kelak," katanya kepada Bernama, Sabtu.

Raja Wan Mahmood berkata kedudukan ekonomi Malaysia jauh lebih baik berbanding 1950-an, jadi tidak ada sebab rakyat perlu memperjudikan masa depan negara dengan menyertai perhimpunan haram yang tidak mendatangkan faedah.

Sehubungan itu, beliau meminta penjawat awam dan orang ramai tidak menyertai perhimpunan itu dan pihak berkenaan perlu menggunakan saluran yang betul untuk menyuarakan ketidakpuasan hati mereka.

Sementara itu, Setiausaha Agung MCA Datuk Seri Kong Cho Ha berkata penganjur perhimpunan haram 9 Julai diperguna parti pembangkang untuk lari daripada isu yang membelenggu mereka serta mengalihkan perhatian orang ramai daripadanya.

Beliau bimbang perhimpunan haram itu akan mencetuskan keadaan tidak stabil dan mengancam keselamatan negara.

"Kita tak boleh menerima sebarang bentuk demonstrasi jalanan yang boleh mencetuskan huru-hara dan mengganggu keamanan," katanya dalam kenyataan di sini, Sabtu.

Kong, yang juga Menteri Pengangkutan, berkata orang ramai boleh menilai sendiri pendirian dan dakwaan pembangkang kerana demonstrasi jalanan tidak dapat dipisahkan daripada politik serta keadaan huru-hara.

"Oleh itu, adalah penting bagi majoriti senyap, peniaga dan mereka yang terlibat dengan industri pengangkutan supaya menyuarakan pandangan masing-masing. Ramai daripada mereka yang tinggal di kawasan Kuala Lumpur telah mengalami kesan buruk daripada perhimpunan haram sebelum ini (pada 2007).

"Sudah tiba masanya pengusaha perkhidmatan teksi, bas dan lori serta peniaga kecil, pemilik kedai dan pemilik perniagaan lain menyatakan pendirian masing-masing melalui pelbagai saluran yang ada," katanya.

Di SHAH ALAM, Wanita MCA Selangor membuat laporan polis berhubung penganjuran perhimpunan haram itu di Balai Polis Seksyen 15.

Pengerusinya, Senator Chew Lee Giok meminta penganjur perhimpunan itu membatalkan hasrat mereka kerana ia akan menyusahkan orang ramai serta menjejaskan keamanan, kestabilan, keharmonian dan ekonomi negara.

"Tidak perlu berhimpun secara haram di jalanan kerana mereka boleh menunjuk perasaan secara aman di dalam stadium dan tidak mengganggu kehidupan orang awam. Mereka juga boleh hantar memorandum secara aman kepada pihak berkenaan," katanya sambil menyifatkan penganjuran perhimpunan haram itu sebenarnya mempunyai agenda politik pihak yang berkepentingan.

Di SUNGAI PETANI, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Tun Mahathir berkata perhimpunan haram itu akan memberi gambaran negatif mengenai situasi politik negara kepada golongan pelabur asing sedia ada serta bakal pelabur baru.

"Apabila perkara ini mendapat liputan khususnya media antarabangsa dan ditonjolkan berulangkali kepada penonton, seolah-olah negara kita huru-hara, ini akan beri gambaran tidak tepat mengenai negara kita.

"Saya tidak mahu nanti pelabur asing pun lari, kita kena tahu setiap kali pelabur asing datang buat pelaburan, mereka akan buka peluang pekerjaan yang sangat banyak untuk anak-anak muda dan inilah yang memberi kemakmuran kepada negara dan kesejahteraan kepada rakyat," katanya.

Di PENGKALAN HULU, penduduk Kampung Penempatan Semula Masyarakat Bukit Buluh bertindak membakar poster Pengerusi Jawatankuasa Bersih Datuk S.Ambiga sebagai tanda protes.

Lebih 100 penduduk yang mengadakan bantahan aman kira-kira 15 minit itu mahu Ambiga ditahan mengikut akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Bekas anggota PAS Zakaria Man, 45, yang menyertai bantahan itu berkata mereka mahu kerajaan bertindak tegas menghalang perhimpunan itu kerana ia mampu menggugat keselamatan negara.

"Saya sudah banyak kali menyertai demonstrasi jalanan, saya tidak lihat yang baik daripada demonstrasi itu, selain kemusnahan dan merugikan rakyat," katanya selepas membuat laporan membantah perhimpunan haram itu di Ibu pejabat Polis Daerah Pengkalan Hulu di sini.

Di IPOH, kira-kira 3,000 penunggang motosikal membabitkan kumpulan belia berkonvoi di sekitar jalan utama di bandar raya bagi membantah perhimpunan haram di ibu kota.

Timbalan Yang Dipertua Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia Perak (Perkasa) Norlizazul Ismail berkata konvoi itu dianjurkan pihaknya dengan kerjasama beberapa badan bukan kerajaan tempatan.

Beliau berkata peserta berhimpun sejak 9 pagi di Jalan Raja Nazrin Shah sebelum memulakan konvoi selama sejam di sepanjang jalan utama bandar raya.

Sementara itu, Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) Tan Sri Tengku Ahmad Rithaudden Tengku Ismail berkata perhimpuan haram yang dirancang Sabtu depan akan menjejaskan pendapatan ahlinya, terutama yang berniaga kecil-kecilan.

"Kita ada banyak ahli. Tetapi bukan semua ahli kita buka perniagaan besar. Banyak ahli kita hanya menjual di kiosk-kiosk kecil. Jika Bersih buat huru hara, bagaimana nasib peniaga-peniaga ini,?" katanya selepas menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan DPIM ke-18 di Kajang, Sabtu.

Persekutuan Persatuan-Persatuan Hokkien Malaysia (FHAM) pula membantah perhimpunan haram itu kerana ia boleh menjejaskan imej dan keharmonian negara.

Presidennya, Tan Sri Tee Hock Seng berkata perhimpunan itu akan mendatangkan kesan buruk dan mencetuskan perbalahan, kekacauan serta mengganggu keselamatan orang awam.

"Saya berharap semua pihak yang terlibat bertenang dan tidak meneruskan konfrontasi serta mempertimbangkan alternatif lain sebagai jalan penyelesaian," katanya dalam satu kenyataan, Sabtu.

Dalam perkembangan berkaitan, Persatuan Peniaga dan Penjaja Lorong Tuanku Abdul Rahman berjaya mendapatkan kira-kira 10,000 tandatangan daripada orang awam yang membantah perhimpunan haram pada 9 Julai ini.

"Perhimpunan itu bukan sahaja menjejaskan perniagaan kami malah menggugat keselamatan orang awam yang datang ke kawasan ini untuk membeli belah," kata pengerusinya, Che Kamarudin Ibrahim.

Persatuan itu kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Beberapa cabang Parti Progresif Penduduk (PPP) pula membuat tiga laporan berasingan di Balai Polis Puchong bagi membantah perhimpunan haram itu dan menggesa tindakan diambil terhadap sesiapa yang menyertainya.

Bahagian PPP yang terlibat adalah Puteri dan Wanita kebangsaan serta dan juga PPP Bahagian Puchong.

Sementara itu, kira-kira 211 persatuan perguruan silat seluruh negara, dengan keanggotaan 4 juta orang, hari ini sebulat suara membantah perhimpunan haram tersebut.

Presiden Persekutuan Seni Silat Kebangsaan (Pesaka) Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata selain itu, mereka juga akan menjadi perisai di depan Istana Negara untuk mempertahankan Yang di-Pertuan Agong daripada sebarang perbuatan tidak diingini, jika perhimpunan itu diadakan pada hari berkenaan.

Beliau berkata perjumpaan dengan semua guru silat hari ini mencapai kesepakatan bahawa penganjuran perhimpunan itu boleh mengakibatkan perpecahan dan ketidakstabilan kepada rakyat Malaysia sekiranya ia diadakan.

"Sebagai anggota pesilat, kita berasa tertekan jika tidak menyuarakan pandangan dan pendirian kita," katanya kepada pemberita selepas menghadiri perjumpaan guru-guru silat di Kelab Sultan Sulaiman di sini Sabtu.

Turut hadir pada mesyuarat itu Mahaguru Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia (PSSLM) Tan Sri Omar Din Mauju.

Di NIBONG TEBAL, Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai mencabar penasihat DAP Lim Kit Siang dan Setiausaha Agung parti itu, Lim Guan Eng, agar meletak jawatan jika ingin menyertai Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih).

Menteri Kesihatan itu berkata kedua-dua pemimpin DAP cuba menangguk di air keruh jika tercetus keadaan huru-hara dan kucar-kacir akibat perhimpunan haram tersebut.

"Pihak yang terlibat, khususnya badan bukan kerajaan (NGO) dalam isu ini hanyalah diperalat dan diperkudakan oleh pihak pembangkang yang mempunyai agenda sendiri," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas merasmikan karnival kesihatan dan bangunan baru MCA Bahagian Nibong tebal hari ini. - BERNAMA

iklan

Video

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Khamis, 7 Disember 2017 8:00 PM

Nadzmi Adhwa Dikurung Selepas Kantoi Dadah

Rabu, 6 Disember 2017 2:00 PM

"Makin Ramai Nak Taja Saya" - Wany Hasrita

Kolumnis

iklan

Iklan