Subsidi Sektor Tertentu Diteruskan Dalam Rancangan Rasionalisasi Subsidi - Muhyiddin

Diterbitkan: Sabtu, 2 Julai 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BAGAN SERAI: Dalam pelaksanaan rasionalisasi subsidi, kerajaan akan memastikan sektor-sektor yang layak menerima subsidi terus kekal menerima bantuan yang sepatutnya, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata ada sektor-sektor tertentu perlu terus diberikan subsidi seperti penanaman padi kerana ia sememangnya "sektor yang diberikan subsidi tertinggi" yang perlu terus dibantu.

"Tanpa bantuan kerajaan kos bagi petani akan menjadi amat tinggi. Ini produk makanan.. makanan ruji, kita mesti bantu mereka," katanya pada sidang media selepas Majlis Kenduri Rakyat di Dataran Alor Pongsu dekat sini Sabtu.

Turut hadir pada majlis itu Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Presiden Parti Progresif Rakyat (PPP) Datuk M. Kayveas dan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Datuk Seri Dr Abdul Rahman Hashim.

Beliau berkata tindakan kerajaan meneruskan subsidi bagi sektor-sektor tertentu menunjukkan pimpinan kerajaan sememangnya menyedari masalah rakyat dan mahu menyelesaikan masalah rakyat.

Terdahulu semasa berucap, Muhyiddin berkata kerajaan memberi jaminan untuk memastikan subsidi sektor tanaman padi kekal selagi kerajaan Barisan Nasional (BN) terus berkuasa di negara ini.

"Mungkin yang lain terpaksa dikurangkan dan dirasionalisasikan. (Ini kerana) kerajaan mahu pastikan hanya yang layak, yang berhak, yang memerlukan dan miskin sahaja yang diberikan subsidi.

"Peranan petani-petani padi amat penting. Ada pihak-pihak tertentu cakap apa guna tanam padi, jika ada duit kita import dari jiran kita Thailand. Dasar kita bukan begitu. Dasar kita 70 peratus kita keluarkan, hanya 30 peratus kita import," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata walaupun sektor penanaman padi diberikan macam-macam bantuan dan subsidi tetapi masalah penanaman masih banyak.

"Kita tidak mahu bidang penanaman padi dilihat sebagai bidang orang-orang miskin. Kita mahu lihat pengusaha padi yang berjaya. Baru-baru ini kita adakan makmal hanya nak fikir untuk majukan penanaman padi.

"Kita menemui beberapa hasil yang boleh menjadikan sektor ini berdaya maju dan berdaya asing. Ia akan diperhalusi oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani supaya sektor tanaman padi terus menjana hasil meningkatkan pengeluaran makanan dan meningkatkan taraf hidup rakyat yang terlibat," katanya.

Muhyiddin berkata kerajaan akan terus memberi sokongan dan dokongan kepada petani-petani terlibat dalam pengeluaran makanan yang bukan hanya tanaman padi tetapi juga pengeluaran makanan yang lain seperti perikanan dan buah-buahan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan