PM Beri RM500,000 Naik Taraf Masjid Pulai Lima

Diterbitkan: Sabtu, 2 Julai 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PASIR PUTEH: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meluluskan segera peruntukan sebanyak RM500,000 untuk menaik taraf masjid Pulai Lima di sini bagi menampung kesesakan yang dialami anggota jemaah masjid mukim berkenaan. Kelulusan itu diumumkan selepas beliau dan anggota rombongan selesai menunaikan solat Zohor di masjid itu dalam rangka lawatan kerja sehari di Kelantan.

Pengumuman itu dibuat setelah imam muda masjid berkenaan, Arifin Mohamad merayu kepada Perdana Menteri supaya Kerajaan Persekutuan meluluskan permohonan itu.

"Insya-Allah kita luluskan permohonan ini," kata Najib selepas menerima permohonan daripada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Mukim Pulai Lima Abdullah Hasaan. Terdahulu, dalam rayuan Arifin memaklumkan kepada Perdana Menteri peruntukan itu untuk membolehkan pihaknya menggantikan atap yang lusuh di samping membina bangunan tambahan bagi menampung jumlah anggota jemaah yang semakin bertambah terutama pada hari Jumaat dan hari raya.

Beliau berkata pada masa ini masjid berkenaan dapat menampung 360 anggota jemaah tetapi telah bertambah kepada 400 orang menyebabkan ada yang menunaikan solat di beranda masjid.

"Syukur permohonan kami mendapat perhatian Perdana Menteri dan kami tidak menyangka mendapat kelulusan segera," katanya ketika ditemui pemberita selepas pengumuman Perdana Menteri mengenai peruntukan itu.

Najib kemudian bertolak ke Machang untuk merasmikan majlis Program Jiwa Murni disusuli majlis Perjumpaan Bersama Rakyat dan penyokong pasukan bola sepak Kelantan, The Red Warriors, di Sekolah Kebangsaan Machang 1, Machang. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan