BN Perlu Jadi Alternatif Terbaik Kepada Rakyat Kelantan - PM

Diterbitkan: Sabtu, 2 Julai 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MACHANG: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Barisan Nasional (BN) Kelantan perlu dilihat sebagai alternatif terbaik untuk rakyat dalam usaha parti untuk merampas kembali negeri itu pada pilihan raya akan datang.

Beliau berkata pimpinan BN dan Umno negeri harus bijak mengambil peluang untuk mengupas banyak isu yang kini menjadi 'duri dalam daging' kepada kepimpinan kerajaan PAS Kelantan.

Najib, yang juga Pengerusi BN, berkata kini terpulang kepada pimpinan setempat untuk menonjolkan parti sebagai alternatif terbaik kepada rakyat Kelantan yang selama ini hanya menjulang pimpinan PAS di bawah Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

"Terpulang pada kebolehan Umno untuk mengupas isu-isu (berkaitan dengan kerajaan negeri) dan memberi alternatif yang lebih baik berbanding PAS.

"Ini yang dikehendaki rakyat Kelantan, maknanya, mereka akan buat perbandingan secara mendalam tentang alternatif kepada PAS dan kita mesti memperlihatkan BN sebagai alternatif yang lebih baik berbanding PAS," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan pasukan bola sepak Kelantan, 'The Red Warriors', di Sekolah Kebangsaan Machang 1 di sini, Sabtu.

Turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamad, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Naib Presiden Umno yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa.

Selain itu, beberapa pemain The Red Warriors turut memeriahkan majlis yang dipenuhi kira-kira 15,000 penyokong skuad Kijang itu.

Perdana Menteri mengulas mengenai beberapa masalah yang kini dihadapi kerajaan Kelantan, antaranya isu ladang rakyat dan masalah bekalan air berterusan yang sudah sekian lama menghantui penduduk negeri itu.

Najib mengakui pada masa ini PAS terpaksa menjawab banyak isu dan kini berada dalam keadaan defensif berbanding ketika pilihan raya umum lalu.

Najib juga positif ketika ditanya adakah ini masa terbaik untuk BN merampas kembali negeri itu setelah diterajui PAS sejak 21 tahun lalu.

"Wallahualam, tapi kita akan cuba sedaya upaya dan semangat di kalangan pemimpin Umno tinggi dan mereka sedia mengharunginya.

"Memang ada tanda positif ke arah BN, tapi kita kena anggap ini satu proses yang mana kita mesti menjurus kepada perubahan dan penambahbaikan secara konsisten... kita tidak boleh menganggap satu majlis saja sebagai pengukurnya tetapi ia mesti merupakan sesuatu yang ada kesan semakin hebat ke arah BN," katanya.

Najib berkata beliau teruja dengan sambutan di luar jangkaan terhadap majlis itu dan dalam konteks ia diadakan di negeri pembangkang, mungkin boleh dilihat sebagai petanda baik kepada BN.

"Saya nak tengok sama ada ini petanda baik atau apa-apa yang kita boleh buat kesimpulan daripada kehadiran yang sebegini besar, kemungkinan mereka ini mengharapkan sesuatu perubahan yang berlaku, dan mudah-mudahan itu petanda baik pada BN," katanya.

Beliau bagaimanapun mengingatkan anggota dan pimpinan parti agar mementingkan kesetiaan dan disiplin pada parti dan matlamat mengatasi segala-galanya.

"Itu yang saya nak sampaikan kepada pimpinan Umno peringkat bahagian dan cawangan," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Najib berkata program turun padang beliau dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menemui rakyat akan diteruskan bergantung kepada bila pilihan raya umum diadakan.

"Ia tertakluk pada bila pilihan raya umum diadakan, kalau ada masa kita buat lagi, kalau tak ada masa kita adakan pilihan raya umum," katanya. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan