Tindakan Disiplin Penjawat Awam Terengganu Terlibat Perhimpunan Haram

Diterbitkan: Khamis, 30 Jun 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said memberi amaran tindakan disiplin akan diambil terhadap mana-mana penjawat awam negeri itu yang terlibat dengan perhimpunan haram dirancang pada 9 Julai ini.

Beliau berkata penjawat awam yang dikesan menyertai perhimpunan itu akan diambil tindakan tegas termasuk boleh dipecat berdasarkan peraturan perkhidmatan awam sedia ada.

"Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana penjawat awam yang terlibat kerana mereka sepatutnya sentiasa menjaga nama baik perkhidmatan masing-masing.

"Saya harap tiada rakyat Terengganu yang mengikuti perhimpunan itu kerana ia hanya akan menghuru-harakan negara kita," katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Beliau berkata rancangan jahat yang dirancang pihak tidak bertanggungjawab itu, jika benar-benar dilaksanakan akan hanya merugikan rakyat sendiri kerana pelabur asing tidak berani lagi datang ke negara ini.

Ahmad berkata selain merosakkan imej negara di mata dunia, negara juga akan mengalami kerugian akibat kerosakan yang bakal berlaku dan kecederaan mungkin terjadi kepada orang awam yang tidak berdosa. "Kita sebagai rakyat yang berada dalam negara yang harmoni sepatutnya dapat berfikir bahawa ini adalah agenda pihak pembangkang untuk mempopularkan diri mereka," katanya. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan