Tiada Tekanan Tentukan Tarikh PRU-13 - Najib

Diterbitkan: Khamis, 30 Jun 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SIPITANG: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata rancangan pihak tertentu mahu mengadakan perhimpunan haram kononnya bagi menuntut pilihan raya secara bersih tidak akan memberi tekanan kepadanya untuk memikirkan bila pilihan raya umum bakal diadakan.

"(Persoalan) pilihan raya, bila akan diadakan tidak tertakluk kepada (tuntutan penganjur perhimpunan) Bersih," katanya pada sidang akhbar selepas menamatkan lawatan kerja beliau ke pekan paling selatan di Sabah pada Khamis.

Perdana Menteri berkata sebenarnya perhimpunan itu bermotif politik dan tuntutan itu boleh diselesaikan tanpa mengheret rakyat untuk menyertai demonstrasi jalanan yang boleh menggugat ketenteraman awam. Katanya tuntutan yang dikemukakan sepatutnya boleh dikemukakan untuk dipertimbangkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Penganjur perhimpunan haram 9 Julai, antara lain menyenaraikan tuntutan pembersihan senarai undi, mereformasi undi pos, penggunaan dakwat kekal dan pengukuhan institusi awam.

Perdana Menteri berkata usaha untuk memperkenalkan sistem biometrik sedang dilakukan bagi menolak dakwaan tentang kewujudan pengundi hantu sementara rakyat perlu diberikan penjelasan sepenuhnya tentang proses undi pos yang sebenarnya turut disaksikan sendiri oleh wakil-wakil daripada parti pembangkang.

Najib menyifatkan rancangan mengadakan perhimpunan haram itu sebenarnya bertujuan mengalih tumpuan rakyat terutama momentum sokongan rakyat terhadap usaha transformasi oleh kerajaan Barisan Nasional.

"Mereka melihat satu dua hari ini momentum (sokongan) semakin meningkat kepada Barisan Nasional. Mereka nak buat (seolah-olah) Barisan Nasional kurang mendapat sokongan rakyat dengan menuduh kita sebagai kerajaan zalim dan kuku besi," katanya.

Beliau turut mempersoalkan sikap kumpulan penganjur perhimpunan ini yang berdiam diri apabila pembangkang berjaya memenangi beberapa pilihan raya kecil dan menawan empat buah negeri dalam pilihan raya umum ke-12 sebelum ini.

Katanya kerajaan telah diberi mandat oleh rakyat untuk memastikan keselamatan dan ketenteraman di negara ini terjamin dan mengambil sebarang tindakan perlu untuk mengekang sebarang kegiatan yang boleh membawa kepada keadaan huru-hara. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan