Perhimpunan Di P.Pinang Ditangguh Ke 10 Julai

Diterbitkan: Khamis, 30 Jun 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Kerajaan negeri Pulau Pinang pimpinan DAP mengumumkan Majlis Penerangan Rakyat yang dijadualkan berlangsung di Tapak Pesta Sungai Nibong dan Tapak Ekspo Seberang Jaya pada 8 malam ini, telah ditangguhkan ke 10 Julai.

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata keputusan itu dibuat hasil perbincangan dengan barisan pemimpin kerajaan negeri dan Ketua Polis negeri pada Rabu.

"Kerajaan negeri adalah satu kerajaan yang menghormati kedaulatan undang-undang, khususnya perintah yang dikeluarkan oleh mahkamah. Oleh itu, kerajaan telah memutuskan untuk menangguh majlis berkenaan ke 10 Julai dan ini juga telah dipersetujui oleh pihak polis," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Katanya beliau menerima dua surat perintah yang dikeluarkan Mahkamah Majistret semalam mengenai larangan mengadakan perhimpunan di dua tapak ekspo itu dan telah berjumpa dengan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Ayub Yaakob.

Lim turut melahirkan rasa tidak puas hati kerana pihak kerajaan negeri tidak dimaklumkan sebelum ini oleh pihak polis mengenai permohonan perintah mahkamah itu.

"Sebagai Ketua Menteri yang diberi mandat rakyat, saya berasa tidak puas hati selepas menerima dua pucuk surat perintah mahkamah semalam kerana saya tidak dimaklumkan oleh pihak polis sehingga perintah mahkamah majistret dikeluarkan," katanya.

Lim yang juga setiausaha agung DAP berkata kerajaan negeri akan berbincang dengan penasihat undang-undang kerajaan negeri sebelum membuat permohonan rayuan ke Mahkamah Rayuan mengenai perintah mahkamah itu.

Pada Rabu, Ayub berkata polis akan mengambil tindakan keras terhadap pihak yang menyertai perhimpunan yang akan diadakan di dua tapak ekspo itu berikutan polis telah mendapat perintah mahkamah mengenai larangan mengadakan perhimpunan itu mengikut Seksyen 98, Kanun Prosedur Jenayah.

Katanya perintah itu telah diserahkan kepada pihak penganjur dan ditampal di kedua-dua lokasi.

Sementara itu, Lim berkata pada 10 Julai nanti, majlis penerangan rakyat anjuran kerajaan negeri akan dijalankan di dua tempat yang sama atas persetujuan pihak polis. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan