Amerika Tidak Bangkitkan Isu Perhimpunan Haram - Muhyiddin

Diterbitkan: Khamis, 30 Jun 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

WASHINGTON: Pentadbiran Amerika Syarikat (AS) tidak membangkitkan isu mengenai rancangan perhimpunan haram oleh kumpulan pengacau pada 9 Julai ini semasa lawatan kerja empat hari Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Washington.

"Semasa lawatan saya, perkara ini tidak dibangkitkan," kata Muhyiddin kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan sempena lawatan kerjanya pada Rabu.

Dalam pertemuannya dengan pegawai kanan AS, katanya beliau tidak langsung ditanya mengenai perhimpunan haram itu.

Muhyiddin yang berlepas pulang ke tanah air pada Rabu, berkata demikian ketika ditanya mengenai tindakan kumpulan pengacau yang berdegil meneruskan perhimpunan haram pada tarikh itu walaupun Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar, mendedahkan hasil risikan dan penilaian polis mendapati perhimpunan haram itu bukan saja boleh mencetuskan huru-hara serta kemusnahan harta benda dan kecederaan, malah mungkin membabitkan kehilangan nyawa.

Diminta mengulas laporan terdapat pelajar Malaysia di luar negara yang turut mahu mengadakan tunjuk perasaan sebagai sokongan kepada perhimpunan haram itu, Timbalan Perdana Menteri berkata walaupun kerajaan Malaysia tidak dapat menyekat tindakan mereka namun mereka seharusnya memahmi mengenai perkara pokok tentang pengharaman perhimpunan tersebut.

Beliau berkata banyak perkara yang perlu dipertimbangkan kerajaan tentang pengharaman perhimpunan itu iaitu seperti soal keselamatan, hubungan antara kaum dan menjaga imej negara.

"Kalau di luar negara, terpulang pada negara berkenaan, mereka ada undang-undang sendiri. Sukar kita nak kawal tapi patutnya pelajar Malaysia tumpu pada pelajaran.

"Walaupun kita tidak boleh sekat, mereka tunjuk kecenderungan terlibat, mereka harus faham perkara pokok kenapa kerajaan kata perhimpunan itu haram, mesti ada asas dan mereka perlu faham," katanya.

Namun beliau berkata kerajaan akan mendapat laporan daripada Jabatan Penuntut di luar negara kerana enggan membuat andaian bahawa pelajar Malaysia akan terlibat membuat perhimpunan.

"Saya tidak fikir semua students (pelajar) nak rally (buat perhimpunan), jangan kita buat andaian awal, mungkin satu dua kerat aje yang nak rally, yang lain mungkin bagi tumpuan pada pelajran dan aktiviti yang berfaedah pada mereka," katanya.

Muhyiddin turut meminta rakyat agar bertenang dan memahami tujuan dan muslihat pihak yang mahu mengadakan juga tunjuk perasaan itu.

"Kita tahu tujuan pembangkang, Walau macam mana kecil pun tunjuk perasaan yang mahu diadakan ia tetap akan diputarbelitkan. Saya boleh ramalkan media antarabangsa akan mengeksploitasi keadaan malah jia berlaku insiden kecil akan diperbesar kononnya Malaysia ini porak peranda.

"Kerajaan sudah lama belajar dari sejarah. Pandangan kerajaan ialah jangan terbabit dengan tunjuk perasaan itu. Kerajaan tidak mampu membiarkan ia berlaku kerana rakyat akan mempersoalkan mengapa kerajaan tidak mengambil tindakan tegas."

Muhyiddin berkata sekiranya perhimpunan itu berlaku, kesannya sangat buruk kepada negara.

"Bagaimanapun pihak tidak bertanggungjawab ini tidak peduli sebab mereka bukan kerajaan. Lebih banyak kerosakan yang berlaku, mereka lebih gembira dan menuduh kerajaan tak mampu mentadbir negara dan seharusnya memilih mereka," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata orang ramai kena faham muslihat pihak berkenaan kerana mereka tidak akan rasa rugi sebaliknya rakyat yang rugi jika berlaku perkara tidak diingini.

"Jika ada rasa kurang puas hati, kita ada pelbagai saluran untuk mengadu. Mereka boleh menyerahkan seberapa banyak memorandum kepada pihak berkuasa atau berbincang atau usulkan kepada Parlimen," katanya.

Muhyiddin berkata kerajaan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk melaksanakan undang-undang bagi menjaga keselamatan. "Kita bertindak pada dasar undang-undang. Kita tidak bertindak ikut suka hati. Tindakan polis adalah berdasarkan undang-undang," katanya. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan