Pemandu Teksi Dinasihatkan Tidak Terlibat Dengan Bersih 2.0

Diterbitkan: Rabu, 29 Jun 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pemandu-pemandu teksi di ibu kota dinasihatkan supaya tidak terlibat dengan perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) 2.0 pada 9 Julai ini, kata Pengerusi Persatuan Teksi Eksekutif Malaysia, Azmi Mohd Yatim.

Malah beliau memberi amaran, tindakan akan diambil kepada ahli-ahli persatuan jika berdegil dan menyertai perhimpunan haram berkenaan.

Menurut beliau, pengalaman pahit pemandu teksi pada tahun 1998 dan 2007 ekoran demonstrasi jalanan di ibu kota seharusnya dijadikan tauladan oleh semua pihak terbabit kerana pendapatan mereka terjejas teruk.

"Pendapatan kami kais pagi makan pagi. Bayangkan sekiranya dalam sehari kami sekurang-kurangnya perlu mendapatkan RM150, tetapi disebabkan demonstrasi, kami kekurangan pelanggan.

"Malah sudah tentu polis akan buat sekatan jalan keluar dan masuk ke ibu kota, dan ini menyukarkan kami untuk membawa penumpang," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Kempen Duta Mesra Rakyat dan Membantah Demonstrasi Jalanan di sini.

Majlis disempurnakan oleh Ketua Pergerakan Puteri Umno, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Hadir sama ialah Presiden Pertubuhan Teksi, Limosin dan Kereta Sewa Malaysia, Yusof Lahir.

Di samping itu, satu memorandum membantah demonstrasi itu diserahkan kepada Wakil Khas Menteri Dalam Negeri, Datuk Ab Hamid Mohd Nazahar.

Terdahulu, Rosnah berkata sebarang usaha untuk melakukan demostrasi haram haruslah disekat dan pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas terhadap dalang disebalik penganjuran itu.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Kesihatan berkata, Puteri Umno di setiap negeri juga membuat laporan polis bagi mendesak penganjur Bersih supaya tidak melakukan demonstrasi jalanan pada 9 Julai ini selain menyambut baik langkah yang dibuat Belia 4B mengumpul 1 juta tandatangan membantah demonstrasi itu.

"Justeru, saya melihat usaha Puteri Umno dan Persatuan Pemandu Teksi Eksekutif Malaysia menyerahkan memorandum ini bertujuan menyempurnakan tanggungjawab kita sebagai pergerakan yang prihatin terhadap keamanan dan keharmonian rakyat.

"Malah penganjuran demonstrasi jalanan terbukti tidak mendatangkan sebarang manfaat kepada negara sebaliknya ia akan mendatangkan kesan kepada pemandu teksi dan peniaga lain," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan