Nazri Bidas Kenyataan Hillary

Diterbitkan: Rabu, 29 Jun 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz membidas kenyataan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Hillary Clinton yang memberi lampu hijau kepada Israel untuk mengancam misi kemanusiaan 'Freedom Flotilla, Life Line For Gaza (LL4G) daripada memasuki perairan Gaza.

"Kita tidak bersetuju dengan tindakan AS walaupun negara itu merupakan rakan sekutu kita. Dalam isu berkaitan Palestin, kita tetap menentang ancaman Israel terhadap Flotilla," katanya pada sidang media di bangunan Parlimen, Rabu.

Sebaliknya, Mohamed Nazri berkata apa jua usaha kemanusiaan perlu diberi sokongan sepenuhnya kerana bantuan itu dihulurkan bagi menyelamatkan nyawa 1.5 juta penduduk Gaza yang hidup menderita.

Terdahulu, beliau menerima memorandum daripada ahli badan bukan kerajaan (NGO), Life Line For Gaza Malaysia yang mencadangkan empat resolusi bagi membantah ancaman terhadap Flotilla dan rakyat Gaza untuk diusulkan kepada Kesatuan Inter Parlimen (IPU).

Mohamed Nazri yang juga Ahli Parlimen Padang Rengas memberi jaminan akan memaklumkan penyerahan memorandum itu kepada Speaker Dewan Rakyat terlebih dahulu untuk diambil tindakan.

"Kami menyokong usaha yang dilakukan NGO untuk membantu rakyat Palestin yang tidak berdosa. Mereka berhak mendapat bantuan yang dihulurkan masyarakat dunia," ujarnya.

Bagaimanapun, beliau perlu meneliti prosedur yang perlu diambil kira untuk mengemukakan usul pada perhimpunan IPU di Bern, Switzerland Oktober ini.

"Saya akan mengadakan mesyuarat bersama IPU Malaysia bagi membincangkan perkara ini. Penelitian perlu dibuat agar ia boleh diusulkan pada perhimpunan itu nanti," katanya.

Jelasnya, beberapa prosedur perlu diteliti memandangkan ia merupakan kali pertama Malaysia akan membangkitkan usul di peringkat perhimpunan IPU seluruh dunia.

"Saya tidak begitu pasti dengan prosedur yang perlu diguna pakai. Sekiranya Malaysia ingin bangkitkan satu usul kita perlu meneliti sama ada ia perlu dibahaskan di parlimen terlebih dahulu atau boleh dibawa terus ke IPU tanpa perlu dibahas.

"Namun saya percaya Parlimen dan IPU Malaysia memberikan sokongan kuat kepada usaha NGO dalam meneruskan misi kemanusiaan mereka kepada rakyat di Gaza," ujarnya.

Rombongan delegasi Freedom Flotilla 2 Malaysia yang disertai 10 sukarelawan selamat tiba di Athens, Greece pada Isnin dan dijadualkan memasuki perairan Gaza dalam masa terdekat.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan