Saudara Bekas PM Bangladesh Dikehendaki Kerana Rasuah Dipercayai Berada di M'sia

Diterbitkan: Selasa, 28 Jun 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

NEW DELHI: Seorang pegawai kanan badan pencegah rasuah Bangladesh lewat Selasa berkata, laporan risikan menunjukkan saudara terdekat bekas Perdana Menteri Bangladesh, Begum Khaleda Zia, yang dikehendaki kerana rasuah mungkin sedang bersembunyi di Malaysia.

Dalam satu temubual melalui telefon dengan Bernama, pengerusi Suruhanjaya Anti Rasuah Bangladesh, Golam Rahman berkata, suspek berlepas ke Malaysia dari Bangkok beberapa bulan lepas.

"Tidak berapa pasti lokasi sebenarnya kini tetapi pihak berkuasa Thai mengesahkan bahawa dia ke Malaysia beberapa bulan lepas. Kami kini menunggu arahan mahkamah untuk mengambil langkah selanjutnya," kata Golam yang dihubungi di Ibu Pejabat Suruhanjaya itu di Dhaka.

Suspek didakwa mengambil rasuah bernilai AS$2.7 juta (RM8 million), dari dua firma asing bagi mendapatkan kontrak kerajaan ketika pemerintahan Khalida antara 2001 dan 2006.

Dia ditahan pada 2007 dan diberi parol untuk rawatan kesihatan di Bangkok, tetapi perintah parol itu kemudian digugurkan pada 2010 selepas dia melanggar peraturan parol.

Akhbar berbahasa Inggeris yang berpengaruh di Dhaka, Daily Star melaporkan destinasi terakhirnya ialah Kuala Lumpur.

Gulam tidak menolak kemungkinan mengadakan kerjasama dengan pihak berkuasa di Malaysia untuk menangkap suspek. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan