Parti Makkal Sakti Bantah Perhimpunan Haram

Diterbitkan: Selasa, 28 Jun 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Parti Makkal Sakti, yang ditubuhkan oleh bekas pemimpin pertubuhan Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf) yang telah diharamkan, menyuarakan bantahan terhadap rancangan mengadakan perhimpunan haram oleh pihak berkepentingan dan berpendapat ia tidak membawa manfaat kepada rakyat.

Presidennya Datuk R.S. Thanenthiran berkata demonstrasi jalanan itu bercanggah dengan hasrat majoriti rakyat.

"Bersih dipergunakan oleh pihak-pihak tertentu untuk memajukan agenda politik tersendiri dan tidak sama sekali memperjuangkan hak-hak rakyat seperti yang diperkatakan," katanya di dalam satu kenyataan di sini, Selasa.

Thanenthiran berkata kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah membuktikan rakyat mengecapi pembangunan pesat sejak mengambil alih tampuk kepimpinan negara ini.

"Sememangnya pilihan raya di Malaysia dijalankan dengan adil dan saksama dan buktinya ialah bilangan ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri daripada pihak pembangkang ketika ini," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata pihaknya akan membuat laporan polis serentak di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada 11 pagi esok dan di setiap negeri di seluruh negara untuk mencegah rakyat jelata daripada terpedaya dengan hasutan pihak terbabit yang membawa kesan negatif kepada kepesatan pembangunan negara.

Parti Makkal Sakti Malaysia (MMSP), yang mesra Barisan Nasional, ditubuhkan pada 11 Mei 2009 dan dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak pada 10 Oktober 2009. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan