Bio-Xcell Akan Ketengahkan Penguasaan Bio Malaysia

Diterbitkan: Selasa, 28 Jun 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

WASHINGTON: Malaysian Bio-XCell Sdn Bhd (Bio-XCell), cabang pelaburan Perbadanan Bioteknologi Malaysia (BiotechCorp), akan mengetengahkan ekosistem bioteknologi Malaysia dan penguasaan negara sebagai hab bioteknologi serantau pada Konvensyen Antarabangsa Bio 2011 (BIO DC 2011) di sini.

Konvensyen tahunan selama tiga hari itu, yang terbesar di dunia, akan berlangsung di Pusat Konvensyen Washington Walter E. mulai Selasa.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang tiba di sini pada Isnin, mengetuai delegasi Malaysia pada acara itu.

Dan buat kali pertama dalam sejarah acara berkenaan, Muhyiddin akan menajdi pemimpin asing pertama yang diberikan penghormatan untuk merasmikan konvensyen antarabangsa Bio bersama Gabenor Maryland, Martin O'Malley dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif BIO James Greenwood.

BIO DC 2011, yang dijangka menarik lebih 15,000 pemimpin industri dari 60 negara, dianjurkan oleh BIO, organisasi bioteknologi terbesar dunia yang berpejabat di Amerika Syarikat (US) yang memberi perkhidmatan nasihat, pembangunan perniagaan dan komunikasi untuk lebih 1,100 anggota di seluruh dunia.

Bio-XCell yang menyertai persidangan BIO buat kali kedua itu akan mempamerkan ekosistem bioteknologi Malaysia serta penguasaan negara sebagai hab bioteknologi serantau, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Raja Ridzwa Raja Abdul Aziz.

Bercakap kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan BIO DC 2011, Raja Ridzwa berkata syarikat itu sudah memasuki fasa komersil dan bersedia untuk menerima syarikat bioteknologi asing yang berminat untuk membuka kemudahan pengeluarannya di taman bioteknologi yang dibangunan khas serta ekosistem di Iskandar Malaysia.

Bio-Xcell ialah hab bioteknologi khusus, memenuhi keperluan biopengeluaran peserta serantau dan dunia, dan badan strategik untuk melaksanakan strategi pengkomersilan BiotechCorp dalam membawa inovasi dari makmal ke pasaran.

Syarikat itu membelanjakan kira-kira RM950 juta untuk menyiapkan taman berkenaan dengan semua kemudahan yang diperlukan untuk menampung pelabur bio industri dan biofarma asing.

Raja Ridzwa berkata Muhyiddin akan menyaksikan majlis menandantangani dua perjanjian, dengan peserta utama yang akan menyokong pembangunan Bio-Xcell dan perjanjian kedua bersama sebuah syarikat Asia yang mempunyai kehadirian kukuh di US, sekali gus menjadikan satu lagi langkah penting ke arah meningkatkan infrastruktur ekosistem serta gandingan penyewa di hab terbabit.

BiotechCorp juga akan menyaksikan beberapa memorandum kerjasama dimeterai antara syarikat biotek Malaysia dan rakan global dari Rusia dan Norway, yang akan meningkatkan kelebihan Malaysia dalam bidang industri bioteknologi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasinya Dr Wan Abdul Rahaman Wan Yaacob berkata perbadanan itu akan mengambil langkah besar dengan menganjurkan acara tahunan BioMalaysia 2011 bersama Sidang Kemuncak Bio Lingkaran Pasifik Mengenai Industri Bioteknologi dan Biotenaga.

Beliau berkata buat pertama kalinya, sidang kemuncak itu akan berlangsung di luar US dan akan meletakkan Malaysia pada peta dunia dalam industri bioteknologi dan mengetengahkan kelebihan saingan Malaysia dalam industri biopemprosesan dan biopengeluaran.

Raja Ridzwa pula berkata sejak pelancarannya di peringkat antarabangsa tahun lepas pada BIO Chicago 2010, Bio-XCell memperoleh pelaburan bernilai lebih US$200juta untuk taman bioteknologinya di Iskandar Malaysia.

Tiga pemimpin industri global terbabit ialah Biocon dari India, Metabolic Explorer dari Perancis dan Glycos Biotechnologies dari US.

Beliau berkata pulangan ke atas pelaburan untuk taman bioteknologi itu akan diperoleh mulai 2013 dan setrusnya, dan keseluruhan pelaburan dijangkakan dikumpul antara lapan dan 10 tahun. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan