ASNB Bayar Dividen 5.5 Sen Untuk ASN 2

Diterbitkan: Selasa, 28 Jun 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Amanah Saham Nasional Bhd, satu anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB), pada Isnin mengisytiharkan dividen 5.5 sen seunit bagi Amanah Saham Nasional 2 (ASN2) bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun, 2011, yang melibatkan pembayaran RM10.8 juta.

Sejumlah 8,832 pemegang unit, yang secara kolektifnya memiliki 196 juta unit, akan mendapat manfaat pembayaran itu.

Pengerusi PNB Tan Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata ASN2 telah menunjukkan prestasi yang lebih baik sepanjang tahun kewangan itu berbanding tahun sebelumnya.

"Ini sejajar dengan prestasi menggalakkan ekonomi dan bursa negara ini, yang menyaksikan indeks FBM KLCI mencatatkan keuntungan 18.96 peratus kepada 1,563.19 mata pada Isnin," katanya semasa mengumumkan pengagihan pendapatan ASN2 di sini hari ini.

Berasaskan nilai aset bersih dana itu sehingga 23 Jun, daripada RM1.2246 seunit, pulangan keseluruhan yang dicatatkan oleh dana itu berjumlah 19.27 peratus.

Sehingga Isnin, ASN2 mencatatkan pendapatan kasar RM14.34 juta, di mana daripada jumlah itu, keuntungan dari jualan saham menyumbangkan RM5.43 juta atau 37.87 peratus, manakala pendapatan dividen dari syarikat dilabur menyumbang RM7.24 juta atau 50.49 peratus, dengan baki pendapatan RM1.67 juta atau 11.64 peratus diperolehi dari pelaburan lain, katanya.

Sementara itu, kesemua transaksi ASN2 akan digantung dari hari ini sehingga 30 Jun, bagi memudahkan pengiraan dividen.

ASN2 adalah dana pertumbuhan harga yang berubah-ubah yang disasarkan menjana paras berpatutan pengagihan pendapatan dan peningkatan modal bagi para pemegang unit melalui pelaburan portfolio kepelbagaian.

Ia dibuka kepada para pelabur Bumiputera berumur 18 tahun ke atas.

Ia turut disenarai pada Skim Pelaburan Ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWPF). - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan