Kurang Daripada 10 Peratus Syarikat Malaysia Guna Pakai Agenda CSR - Peter Chin

Diterbitkan: Isnin, 27 Jun 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berkata kurang daripada 10 peratus syarikat Malaysia mengguna pakai agenda tanggungjawab sosial korporat (CSR).

"Kebanyakan syarikat yang lain itu tahu tentang pentingnya CSR ini, tetapi masih tidak menjadikannya sebagai amalan perniagaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sidang Kemuncak Kemampanan CSR 2011, di sini, Isnin.

Sidang kemuncak sehari itu yang bertemakan "Redefining Global Footprints for Sustainable Development", dianjurkan oleh Institut Kajian Strategik dan Kepimpinan Asia. Ia membincangkan isu-isu utama dan strategi mengenai wawasan baharu bagi perniagaan, kerajaan, pengamal CSR dan pertubuhan bukan kerajaan.

Terdahulu Chin dalam ucapannya berkata CSR mewakili langkah pertama peralihan ke arah satu sistem yang amat berbeza daripada sebelumnya.

"Ia akan menjadi satu sistem di mana konsep daya saing pada satu bahagian dan pembangunan lestari pada satu bahagian lain semakin tidak dapat dibezakan," katanya.

Beliau berkata Rancangan Malaysia Ke-10 menekankan kepada agenda negara bagi mencapai ekonomi berpendapatan tinggi dan produktiviti tinggi ketika menumpukan kepada isu sosio-ekonomi.

Pengumuman Bajet 2011 yang antara lainnya meminta syarikat berhad awam mendedahkan aktiviti CSR mereka dan menyediakan galakan bagi amalan CSR yang baik, katanya, sudah pastinya telah mwujudkan trend di kalangan pelabur institusi tempatan untuk menyepadukan pertimbangan sosial, alam sekitar dan tadbir urus dalam keputusan pelaburan mereka.

"Susulan daripada ini, saya berharap lebih banyak syarikat Malaysia akan melihat bahawa terdapat peningkatan pemusatan antara sektor swasta, pasaran kewangan dan komuniti global di mana CSR bukan satu pilihan.

"Ia tidak seharusnya dianggap sebagai hanya respon kepada langkah-langkah yang diguna pakai di luar, tetapi sebagai satu strategi perniagaan penting," kata Chin. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan