5 Syarikat MRO Asing Sedia Labur di Subang - MAHB

Diterbitkan: Isnin, 27 Jun 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SUBANG: Lima syarikat penyelenggaran, pembaikan dan baik pulih (MRO), kebanyakannya dari Eropah, berminat menempatkan operasi masing-masing di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (SAAS) di Subang, kata Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

"Beberapa syarikat besar dari Eropah yang terlibat dalam kemudahan MRO atau pengeluaran alat ganti, mencari kawasan dan insentif untuk membuka operasi mereka di sini," kata Pengarah Urusannya, Tan Sri Bashir Ahmad, Isnin.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas lawatan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed ke Malaysia International Aerospace Centre Sdn Bhd (MIAC).

MIAC, anak syarikat Malaysia Airports Holdings Bhd, mengurus perniagaan MRO dan memain peranan penting dalam menerajui pembangunan dan pelaksanaan pelan tindakan aeroangkasa negara yang dilancarkan pada 1997.

Bashir berkata, sektor aeroangkasa merupakan industri mewah yang menawarkan potensi besar untuk pelaburan di Malaysia dan menambah, Malaysia menjadi lokasi beberapa syarikat utama termasuk Eurocopter, MAS Aerospace Engineering dan jet-jet persendirian.

"MAHB menyokong industri ini dengan menyediakan kawasan dan kemudahan untuk industri aeroangkasa. Sebagai pemilik tanah kemudahan ini, MAHB menggalakkan syarikat-syarikat untuk membuka perniagaan mereka di sini," katanya.

Bashir menambah, MAHB juga menawarkan tanah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang dan lapangan terbang yang lain bagi menyediakan pertumbuhan industri aeroangksa, yang diunjur akan terus berkembang.

"Dalam tempoh 10 tahun yang akan datang, Asia Pasifik dijangka mencatat pertumbuhan tertinggi dari segi bilangan penumpang dan tempahan pesawat. Oleh itu, inilah masa yang paling baik untuk kami menyiapkan diri untuk peluasan kemudahan MRO dan aeroangkasa di Malaysia," katanya.

Bashir bagaimanapun berkata, cabaran yang dihadapi oleh industri itu ialah keadaan tanah yang terhad untuk menampung minat yang semakin berkembang, dan menambah, syarikat MRO kini beroperasi di kawasan seluas 1,200 ekar.

"Pada masa ini kita perlu memperoleh lebih banyak kawasan untuk menampung mereka. BAru-baru ini kita sudahpun mengemukakan cadangan kepada kerajaan-kerajaan negeri mengenai cadangan pengambilalihan tanah.

"Namun pada masa yang sama, kami juga cuba menggalakkan syarikat supaya memilih KLIA sebagai lokasi alternatif memandangkan kami mempunyai kawasan untuk tujuan itu," kata Bashir.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan