Perodua Akan Buka Pusat 3S Pertama Di Melaka - Berita Semasa | mStar

Perodua Akan Buka Pusat 3S Pertama Di Melaka

Diterbitkan: Ahad, 26 Jun 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

AYER KEROH: Perusahaan Otomobil Kedua (Perodua) akan membuka pusat jualan, perkhidmatan dan alat ganti (3S), di Melaka bulan depan, kata Pengarah Urusannya Datuk Aminar Rashid Salleh.

Beliau berkata syarikat itu sedang memuktamadkan perjanjian tanah dengan kerajaan negeri untuk membuka pusat itu di Ayer Keroh.

"Kerajaan negeri sebelum ini menawarkan kami sebidang tanah di Autocity, Melaka, namun memandangkan tempat itu masih baharu, kami berpendapat ia tidak sesuai dengan kepentingan kami.

"Oleh itu kami memilih kawasan berhampiran Taman Buaya, Ayer Keroh, memandangkan sebuah pasar raya besar dijangka dibina di situ. Kami yakin ia mampu menarik orang ramai," katanya pada taklimat media sempena "Perodua Eco-Challenge 2011", di sini pada Sabtu.

Beliau bagaimanapun enggan menyatakan kos pembinaan pusat 3S itu yang dijangkakan memulakan operasi akhir tahun depan.

Setakat ini, Perodua mengurus 16 pusat 3S di seluruh negara.

Dalam perkembangan lain, Aminar Rashid berkata syarikat itu menerima sambutan hangat terhadap versi MyVi baharu.

"Sehingga 24 Jun, kami meneima kira-kira 12,000 tempahan unit MyVi dan kami menjangka menjelang akhir Julai, kira-kira 2,000 hingga 3,000 kereta Myvi baharu akan berada di atas jalan raya," katanya.

Aminar Rashid juga berkata krisis Tsunami di Jepun menjejaskan operasinya dan menyebabkan kelewatan dalam penyerahan Myvi baharu kepada pelanggan.

Beliau bagaimanapun berkata syarikat itu mengekalkan sasaran jualan sebanyak 195,000 unit, dan MyVi baharu dijangka menyumbang sebanyak 50 peratus daripada jualannya. BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan