NGO Bantah Perhimpunan Haram

Diterbitkan: Ahad, 26 Jun 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Cadangan kumpulan pengacau untuk menganjurkan perhimpunan haram pada 9 Julai ini terus mendapat bantahan daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Setiausaha Agung Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan) Syed Anuar Syed Mohamad berkata tindakan mengadakan perhimpunan itu bukan sahaja bakal menyebabkan kesusahan kepada orang ramai bahkan menjejas imej negara yang selama ini menyerlah di mata dunia.

"Kita (Gagasan) tidak pernah bersetuju dengan demonstrasi jalanan daripada mana-mana pihak sama ada Perkasa (Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia) apatah lagi kumpulan pengacau ini.

"Apa perlu adanya demonstrasi? Kita faham kalau dah ramai berdemonstrasi, pastinya keadaan tidak akan aman apatah lagi bila berlaku pertembungan dua kumpulan. Yang menjadi mangsa ialah rakyat," katanya ketika dihubungi di sini, Ahad.

Beliau juga menggesa kerajaan khususnya badan penguatkuasa supaya tidak hanya memberikan "cakap-cakap keras" tetapi sebaliknya mengenakan tindakan tegas kepada mana-mana pihak yang cuba menimbulkan suasana tidak aman dalam negara.

"Pihak berkuasa ambil saja apa-apa bentuk tindakan dan kalau perlu guna ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri), gunalah.

"Lebih baik mencegah sebelum ia (perhimpunan) terjadi kerana kita takut kalau tindakan diambil selepas ia berlaku, yang menjadi mangsa ialah rakyat, pemandu teksi, orang berniaga, yang nak bercuti dan sebagainya," katanya.

Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia Datuk Nadzim Johan ketika dihubungi menyifatkan perhimpunan tersebut satu usaha sia-sia.

Katanya, tindakan segelintir individu yang dipercayai mempunyai agenda tertentu di sebalik perhimpunan tersebut hanya bertujuan mencabar undang-undang negara.

"Cara ini tidak kena...sebagai manusia yang bertamadun, tak perlu menyusahkan orang. Kalau berdemonstrasi ke nak bantah ke, buatlah di stadium atau di rumah sendiri ke. Jangan nak menyusahkan orang lain pula.

"Kalau nak tunjuk perasaan sangat, kita mahu mereka bertanggungjawab sepenuhnya sekiranya berlaku apa-apa kejadian yang tidak diingini," katanya.

Sementara itu, Presiden Majlis Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC), Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi menyifatkan mana-mana orang yang menyertai perhimpunan haram itu sebagai "bengong" dan berniat jahat terhadap negara.

"Bila terjadi perhimpunan ini, ia akan menyebabkan dua fenomena termasuk kepada belia iaitu bengong dan gusar. Bengong ini disebabkan dia rasa perhimpunan itu seronok dan keduanya yang gusar ini, mereka tidak boleh menjalankan aktiviti mereka seperti biasa.

"MAYC tidak bersetuju dengan perhimpunan haram ini kerana ia bukan cara konstruktif pun nak menyelesaikan masalah rakyat.

"Kita juga tidak bersetuju kerana ia akan memberi gambaran salah kepada belia bahawa berdemonstrasi sahaja dapat menyelesaikan masalah," katanya. BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 17 Ogos 2017 3:02 PM

Seksi? Urusan Saya Dengan Tuhan - Zizi Kirana

Khamis, 17 Ogos 2017 12:30 PM

Erma Reda, Jatuh Talak Satu

Khamis, 17 Ogos 2017 9:00 AM

Wak Doyok Kini Bintang Filem

Rabu, 16 Ogos 2017 3:59 PM

Bahaya Tu Abang Oii...

Rabu, 16 Ogos 2017 12:30 PM

“Senyum Je Pada Haters” - Farisha Irish

Selasa, 15 Ogos 2017 3:28 PM

Raysha Rizrose Pemalu, Bukan Sombong!

Selasa, 15 Ogos 2017 11:59 AM

Keluarga 'Control' Hidup Neera Azizi?

Selasa, 15 Ogos 2017 9:00 AM

Abang Long Fadil 2 Telan Belanja RM 3.2 Juta

Kolumnis

iklan

Iklan