67 Peratus Bantah Bersih

Diterbitkan: Ahad, 26 Jun 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kajian rambang oleh Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (MIDAS) sepanjang dua minggu lepas mendapati 67 peratus respondan tidak bersetuju dengan penganjuran perhimpunan haram 9 Julai ini, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata sebanyak 12 peratus respondan mengambil pendirian berkecuali dan hanya 21 peratus bersetuju perhimpunan itu diadakan.

Ahmad Zahid, yang juga Pengerusi pusat penyelidikan dan perkongsian pengetahuan pakar dalam bidang pertahanan dan keselamatan peringkat nasional serta antarabangsa, bagaimanapun tidak memberikan jumlah respondan yang terlibat dalam kajian itu.

Beliau berkata perhimpuan haram 9 Julai itu adalah gimik politik.

"Mereka mahu mewujudkan momentum untuk mengumpulkan seramai yang mungkin penyokong-penyokong mereka atau mereka yang berada di atas pagar untuk menyokong mereka (pihak pembangkang)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat Agung Koperasi Tentera ke-46 di sini, Ahad.

Ahmad Zahid berkata tindakan akan diambil terhadap anggota tentera yang menyertai perhimpunan haram itu, dan mereka akan dikenakan hukuman mengikut undang-undang angkatan tentera sedia ada. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan