Perhimpunan Bersih: Tangkap Bukan Penyelesaian Terbaik - Mahmood Adam

Diterbitkan: Sabtu, 25 Jun 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Tindakan untuk terus menangkap pihak yang terlibat dalam perhimpunan haram 9 Julai ini bukan merupakan jalan penyelesaian yang terbaik, sebaliknya kerajaan mengambil pendekatan untuk memberi informasi supaya orang ramai tahu mengenai akibatnya.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Tan Sri Mahmood Adam berkata senario pada zaman ini telah berubah, di mana rakyat tidak boleh lagi menerima tindakan tangkapan oleh pihak berkuasa tanpa sebarang amaran.

"Jadi kita maklumkan kepada orang awam tentang apa yang berlaku. Tangkap-tangkap bukan jalan penyelesain. Bolehkah kamu terima jika kami terus menangkap kamu," katanya kepada pemberita selepas majlis dialog pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kesukarelawanan dengan beliau di KDN di sini, Ahad.

Mahmood diminta mengulas mengenai gesaan sesetengah pihak yang mahu KDN mengambil tindakan tegas terhadap penganjur perhimpunan haram tersebut dan tidak terlalu berlembut dengan mereka.

Beliau berkata kerajaan juga akan meneliti lebih 1,000 laporan polis yang dikemukakan yang membantah perhimpunan tersebut serta akan mengambil tindakan yang sewajarnya.

Mengenai majlis dialog tersebut, beliau berkata ia merupakan yang pertama seumpamanya pernah diadakan dan akan diteruskan bagi menyelaras pergerakan NGO di negara ini serta meminta pandangan dan idea daripada mereka dalam usaha memajukan negara.

Mahmood berkata kerajaan juga sedang mempertimbang untuk mewujudkan majlis permuafakatan bagi menyelaras dan memberi sebarang bantuan yang diperlukan oleh NGO tersebut serta menyelesaikan isu-isu yang dihadapi oleh mereka.

Mengikut rekod, terdapat lebih 119,000 NGO di negara ini dengan lebih 30 juta ahli dan lebih 40,000 daripada jumlah NGO itu merupakan NGO kesukarelawanan, katanya.

Beliau turut menafikan bahawa perjumpaan itu merupakan langkah kerajaan untuk menguasai NGO terbabit sebaliknya kerajaan tidak mempunyai niat lain selain untuk menyatukan NGO berkenaan yang turut akan menjimatkan kos, masa dan tenaga mereka.

Seramai 100 pemegang jawatan daripada 40 NGO kesukarelawanan dari seluruh negara menghadiri perjumpaan itu. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan