Kementerian Kewangan Tidak Terima Cadangan Bina Stadium

Diterbitkan: Sabtu, 25 Jun 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BACHOK: Kementerian Kewangan tidak pernah menerima permohonan daripada kerajaan negeri Kelantan untuk membina stadium baru sukan di Selising untuk dimasukan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK10).

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata disebabkan tidak menerima permohonan itu, maka kementeriannya tidak pernah membincangkan hal itu di peringkat kementerian.

"Saya sebagai Timbalan Menteri Kewangan tidak tahu menahu (permohonan) itu," katanya kepada pemberita selepas mengadakan taklimat pilihan raya bagi kawasan Dewan Undangan Negeri Jelawat di sini, Jumaat.

Beliau mengulas laporan bahawa Kelantan kecewa apabila cadangan memasukkan projek pembinaan stadium dalam RMK-10 tidak diterima oleh kerajaan pusat.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Ihsan, Belia, Sukan dan NGO Negeri Abdul Fatah Mahmood berkata Isnin lepas, kerajaan Barisan Nasional (BN) sepatutnya memberi kerjasama kepada kerajaan negeri yang giat membangunkan sukan di negeri ini.

Dr Awang Adek berkata dakwaan itu sebagai helah untuk memburuk-burukkan kerajaan pusat dan cuba menutup mata rakyat.

Beliau berkata kerajaan negeri sepatutnya bertanggungjawab membina sendiri selepas mengumumkan projek besar itu yang melibatkan kos RM100 juta dan jangan meletakkan kegagalan itu terhadap kerajaan pusat.

"Rakyat Kelantan jangan mudah tertipu dengan helah itu terutama pada saat menjelang pilihan raya umum," katanya.

Beliau, yang juga Pengerusi Pengagihan Wang Ehsan Kelantan, berkata pengagihan Wang Ehsan bukan "gula-gula politik" sebagaimana didakwa oleh setengah pihak sebaliknya ia untuk rakyat Kelantan yang sangat memerlukan bantuan tanpa mengira fahaman politik.

Beliau berkata pelajar, mangsa ribut dan mereka yang tinggal di rumah hampir roboh antara mereka yang sudah mendapat manfaat wang berkenaan.

"Kita tidak pernah tanya mereka penyokong Umno atau Pas dalam usaha pengagihan wang berkenaan," katanya.- BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan